Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 07 April 2001

Jangan guna WTO-TBT hadkan perdagangan - Rafidah

KUALA LUMPUR 6 April - Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke atas Halangan Teknikal Perdagangan (WTO-TBT) tidak seharusnya digunakan untuk mengehadkan perdagangan atau sebagai alat untuk mempertahankan pasaran tempatan oleh semua negara anggota pertubuhan itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, perjanjian WTO-TBT itu membenarkan sesebuah negara menggunakan peraturan teknikal dan piawaian tertentu ke atas produk dan perkhidmatan termasuk berkaitan pembungkusan dan pelabelan.

``Bagaimanapun kebenaran ini seharusnya tidak bersifat diskriminasi di samping telus dan berdasarkan bukti sains,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis dialog dengan wakil-wakil dalam industri kimia dan petrokimia sehubungan dengan dialog tahunan kementerian berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Kerk Choo Ting.

Rafidah menambah, dalam konteks industri kimia dan petrokimia, pengeluaran dan pengedaran produk industri berkenan melibatkan proses dan panduan yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar.

Menurut beliau, perjanjian WTO ke atas TBT memerlukan negara anggota menamakan sebarang peraturan teknikal baru akan diperkenalkan dan proses pelaksanaannya untuk kepentingan negara yang terjejas dengannya.

Rafidah memberi contoh, Garis Panduan Produk Hijau Jepun yang dilaksanakan mulai bulan ini melibatkan pelabelan bateri yang mengandungi asid plumbum dan kimia tertentu di samping pelabelan bahan-bahan binaan yang mengandungi PVC.

Menurutnya, Kesatuan Eropah (EU) juga memperkenalkan beberapa peraturan pelabelan-eco yang tertentu dan langkah ini akan mempunyai kesan ke atas sebahagian eksport Malaysia ke EU kerana pelanggan dijangka terpengaruh dengan label berkenaan.

``Dalam analisis terakhir, tahap bersaing sesuatu produk akan ditentukan permintaan pasaran dengan itu peserta industri perlu sensitif kepada permintaan baru mesra-eco yang semakin meningkat daripada pelanggan,'' katanya.

Beliau menambah, industri perlu bergerak seiringan dengan perkembangan berkenaan serta menerima pakai teknologi yang mampu memenuhi kehendak teknikal baru para pelanggan dan badan-badan penguat kuasa.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi