EKONOMI

Utusan Malaysia 21 mac 2001

KWAP sedia perjelas aktiviti pelaburan

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) sedia memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan aktiviti pelaburannya.

Pengarah KWAP, Azian Mohd. Noh berkata, pihak terbabit boleh menulis surat secara terus kepada beliau dengan menyenaraikan butir terperinci penjelasan yang diperlukan.

``Kita akan menjawab balik secara bertulis kepada semua pihak terbabit dan ini termasuklah surat yang diterima daripada parti pembangkang,'' katanya kepada rombongan anggota parti pembangkang yang melawat KWAP di sini hari ini.

Rombongan itu yang diketuai oleh Pengerusi DAP, Lim Kit Siang mengadakan pertemuan secara tidak rasmi dengan Azian bagi mendapatkan penjelasan berhubung langkah KWAP membeli 273.86 juta saham bernilai RM903.74 juta dalam TIME dotCom Bhd.

Semasa pertemuan itu, Lim telah mempersoalkan kebijaksanaan KWAP membeli saham TIME dotCom yang disifatkannya tidak menguntungkan.

Lim juga mendakwa, KWAP bersikap tidak telus apabila gagal mengedarkan laporan tahunannya kepada Perpustakaan Parlimen dan Perpustakaan Negara Malaysia bagi membolehkan anggota Parlimen dan orang ramai membuat rujukan.

Azian ketika memberi penjelasan terhadap dakwaan Lim itu berkata, KWAP ada mengedarkan laporan terbabit kepada dua perpustakaan itu tetapi tidaklah dalam bentuk laporan berasingan.

``Kita tidak pernah membuat laporan tahunan secara berasingan, sebaliknya ia dimasukkan sekali dalam laporan tahunan akaun awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara,''jelasnya.

Selepas pertemuan itu, Lim dan rombongannya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kerana mendakwa wujud penyelewengan dalam urusan pembelian saham Time dotCom oleh KWAP.

Jurucakap polis yang ditemui selepas itu mengesahkan mereka telah menerima laporan Lim pada pukul 12.15 tengah hari.

Menurut jurucakap itu, laporan polis terbabit akan diserahkan kepada Bahagian Jenayah Perdagangan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

KWAP yang ditubuhkan pada 1991 berperanan sebagai tabung bagi membiayai pembayaran pencen dan gratuiti kepada kakitangan perkhidmatan awam.

Sehingga Jun 2000, KWAP mempunyai dana sebanyak RM15 bilion menjadikan ia institusi pelaburan awam kedua terbesar di negara ini selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain Time dotCom, KWAP mempunyai 10.5 peratus saham di dalam Penerbangan Malaysia (MAS).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi