Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 08 April 2001

Globalisasi gagal tingkat taraf hidup

KUALA LUMPUR 7 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, globalisasi yang sepatutnya membawa kebaikan kepada semua negara melalui pasaran terbuka, liberalisasi dan perubahan kawal selia serta perubahan teknologi, gagal meningkatkan taraf hidup majoriti penduduk dunia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, globalisasi sebenarnya memerlukan ciri-ciri kemanusiaan dengan peluang dan faedah yang dapat dikongsi secara sama rata dan lebih adil.

Menurutnya, jika tiada langkah-langkah tertentu diambil untuk mengurangkan jurang yang semakin melebar di kalangan masyarakat, globalisasi akan hanya mewujudkan ancaman terhadap kesejahteraan manusia.

``Walaupun globalisasi mempunyai banyak kelebihan tetapi ia juga menyebabkan wujudnya ketidaksamarataan yang ketara dan memperlihatkan mereka yang berada mendapat lebih manfaat berbanding golongan yang kurang berada,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucap utama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Belia 2001 bertemakan ifGlobalisasi, Ancaman dan Peluang Untuk Belianf, di sini hari ini.

Abdullah berkata, pada tahun 1997 jurang pendapatan di antara satu perlima daripada penduduk di negara kaya dan satu perlima penduduk di negara miskin, adalah 74 kepada 1, meningkat daripada 60 kepada 1 pada tahun 1990 dan daripada 30 kepada 1 pada tahun 1960.

Katanya, ketidaksamarataan dan jurang pendapatan semakin melebar dan negara-negara kaya dan berkuasa besar nampaknya tidak mengendahkan perkara tersebut.

Tambah beliau, terdapat hampir 1.3 bilion rakyat yang tidak mendapat bekalan air bersih, satu daripada tujuh kanak-kanak di sekolah rendah keciciran dalam pelajaran, 840 juta tidak mendapat makanan yang seimbang, dan 1.3 bilion memperoleh pendapatan sehari kurang daripada AS$1.

``Saya mahu golongan belia tahu kebaikan dan keburukan globalisasi,'' katanya.

Abdullah berkata, Malaysia juga menghadapi satu lagi ancaman globalisasi ekonomi disebabkan pergantungan terhadap ekonomi Amerika Syarikat.

Tambah beliau, prospek di Amerika dan ekonomi Jepun yang lembap memaksa kerajaan menyelaraskan ekonomi negara bagi tahun ini selain penyediaan peruntukan tambahan untuk merangsangkan pelaburan domestik dan penggunaan.

Beliau berkata bagi Malaysia, untuk menangani impak globalisasi, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini membentangkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bagi menangani ekonomi negara untuk sepuluh tahun akan datang.

RRJP3, jelas beliau, menggariskan prinsip-prinsip yang akan dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi dan bangsa Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, matlamat rancangan ekonomi itu akan hanya dapat dicapai jika seluruh masyarakat bersatu dan hidup dalam suasana yang aman dan stabil.

Sehubungan dengan itu, kata Abdullah, adalah penting penyatuan seluruh rakyat diteruskan berdasarkan keadilan sosial supaya tidak ada mana-mana kumpulan yang ketinggalan daripada menikmati pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan tidak harus dipandang rendah kerana dalam dunia globalisasi ini, tanpa perpaduan nasional sukar untuk rakyat mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Oleh: ROSNI HASSAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi