Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 11 April 2001

KUALA LUMPUR 10 April - Industri-industri Malaysia tidak menyokong kepada penetapan semula ringgit kerana kadar penetapan ketika ini membolehkan mereka mengubah suai kos dan harga mereka, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, di sini, hari ini.

``Mereka berpuas hati dengan kadar penetapan ringgit RM3.80 berbanding dolar Amerika,'' katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan dialog tahunan antara kementeriannya dengan persatuan-persatuan yang menyediakan perkhidmatan sokongan.

Beliau berkata demikian selepas ditanya berhubung spekulasi yang tersebar luas ketika ini bahawa kerajaan mungkin membuat penetapan semula ringgit ekoran kelemahan mata wang serantau akibat daripada penurunan yen berbanding dolar Amerika.

Rafidah berkata, banyak industri dan persatuan yang terlibat dalam dialog itu sejak minggu lalu tidak mahu kerajaan membuat penetapan semula ringgit.

``Kerajaan tidak akan membuat penetapan semula ringgit dan kadar pertukaran RM3.80 kepada dolar Amerika adalah "sesuatu yang kita boleh teruskan," katanya.

``Tiada alasan bagi sesiapa untuk membuat spekulasi bahawa kerajaan harus membuat penetapan semula ringgit," kata Rafidah.

Beliau berkata masalahnya adalah terlalu banyak penganalisis yang membuat spekulasi sehingga mencetuskan kesangsian kepada orang awam.

``Saya yakin rakyat dan pelabur-pelabur percaya kepada kerajaan dan bukan pada analisis,'' tambahnya.

Pada hujung minggu lalu, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin memberitahu menteri-menteri kewangan bahawa keputusan Malaysia untuk mengekalkan penetapan adalah disebabkan oleh faktor-faktor fundamental.

Beliau berkata kerajaan mahukan satu bentuk kepastian yang boleh dijangka dalam membawa ekonomi keluar daripada tekanan ekoran daripada kelembapan ekonomi global ketika ini.

Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata Malaysia tidak terdesak menurunkan nilai mata wang yang ketika ini kekal rapat kepada nilai yang baik dan konsisten dengan fundamental ekonomi.

Katanya, Malaysia tidak bergantung kepada kadar pertukaran bagi pengukuhan daya saing antarabangsanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi