Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 13 April 2001

4 syarikat terima status Broker Universal

KUALA LUMPUR 12 April - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan pemberian status Broker Universal kepada empat buah syarikat broker saham yang pertama.

Empat syarikat itu ialah Hwang-DBS Securities Bhd., Kuala Lumpur City Securities Sdn. Bhd. OSK Securities Bhd. dan Rashid Hussain Securities Sdn. Bhd., kata SC dalam satu kenyataannya di sini.

SC yang mensasarkan kewujudan antara sembilan hingga 10 buah Broker Universal, sedang memproses satu lagi permohonan tetapi tidak mengulas dengan lanjut.

Pemberian status itu merupakan satu usaha membentuk sekumpulan teras syarikat broker saham yang bermodal tinggi sebagai menguatkan lagi industri menghadapi cabaran pensejagatan dan liberalisasi pasaran.

SC berkata, kesemua empat buah syarikat itu telah memenuhi syarat-syarat untuk menjadi Broker Universal termasuk keperluan untuk bergabung dengan sekurang-kurangnya tiga lagi syarikat broker saham.

Katanya syarikat broker saham yang bergabung mestilah juga mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM250 juta, modal teras minimum sebanyak RM250 juta dan Nisbah Kecukupan Modal sekurang-kurangnya 1.5 kali.

SC menambah, syarikat-syarikat itu juga perlu memenuhi syarat-syarat layak yang ditetapkan SC dan mematuhi keperluan Garis Panduan SC dalam Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham.

Katanya, sehingga kini, kemajuan penggabungan industri broker saham adalah menggalakkan dan pihaknya akan terus mengawasi secara dekat usaha penggabungan industri tersebut.

Mengulas lebih lanjut empat syarikat broker saham yang mendapat status itu, SC berkata, Hwang-DBS Securities kini mempunyai pejabat-pejabat cawangan di Shah Alam, Selangor, Taiping, Perak dan Johor Bahru.

``KLCS pula memiliki sebuah pejabat cawangan di Kuantan, Pahang dan telah mendapat kelulusan SC untuk menukarkan Upen Securities Sdn. Bhd. kepada pejabat cawangan KLCS di Kangar selain menukarkan Alor Setar Securities (2000) Sdn. Bhd. kepada pejabat cawangan KLCS di Alor Setar.''

SC berkata, OSK Securities mempunyai pejabat cawangan di Ipoh, Perak, Melaka, sambil menambah, pihaknya telah meluluskan pertukaran Ke-Zan Securities kepada pejabat cawangan OSC Securities di Pulau Pinang.

Di samping itu, katanya, kelulusan pemerolehan juga diberikan kepada Rashid Hussain Securities ke atas semua modal terbitan dan berbayar Mercury Securities Sdn. Bhd. dan Straits Securities Sdn. Bhd. serta pertukaran syarikat broker saham yang diperoleh kepada pejabat cawangan Rashid Hussain di Butterworth, Pulau Pinang, Subang Jaya, Selangor dan Melaka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi