Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 14 April 2001

Tingkat penggunaan bahan tempatan

KUALA LUMPUR 13 April - Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia hari ini menyarankan supaya bahan-bahan keluaran tempatan diberikan keutamaan dan dipertingkatkan penggunaannya dalam projek-projek pembangunan janakuasa elektrik di negara ini.

Saranan ini ditujukan kepada pengusaha industri bekalan elektrik negara khususnya Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP) kerana buat masa ini kebanyakan komponen bagi projek pembangunan tersebut terpaksa diimport dari luar negara.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie berkata langkah tersebut dapat menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan industri tempatan dalam pertumbuhan ekonomi negara.

``Langkah menggunakan bahan-bahan keluaran tempatan ini akan dapat mengurangkan defisit semasa imbangan bayaran secara berterusan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Meningkatkan Penggunaan Bahan-bahan Tempatan Dalam Projek Janakuasa Tempatan di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran bengkel oleh Pusat Tenaga Malaysia (PTM) tepat pada masanya iaitu sebaik sahaja pelancaran Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Beliau menambah bahawa pencapaian sasaran-sasaran dalam RRJP3 bukanlah sesuatu yang mustahil berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara berjaya mencatat kenaikan purata tujuh peratus setahun bagi tempoh 1991-2000.

``Sudah ada kajian yang dilakukan oleh beberapa agensi menunjukkan tahap penggunaan bahan-bahan tempatan dalam pembinaan janakuasa elektrik adalah terlalu kecil iaitu kurang dari 20 peratus,'' katanya.

Tambahnya, bagi menyediakan bekalan tenaga yang mencukupi untuk pembangunan yang digariskan dalam RRJP3, pembinaan janakuasa elektrik baru dianggarkan memerlukan kos sebanyak RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

``Lebih daripada 70 peratus daripada RM30 bilion tersebut akan mengalir ke negara-negara luar yang membekalkan bahan-bahan yang berkenaan,''katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, PTM menerima Sijil ISO 9002 untuk Pengurusan dan Koordinasi Projek Kajian Tenaga Serta Khidmat Nasihat Bagi Pembangunan Industri Tenaga.

Sijil tersebut disampaikan oleh Timbalan Presiden Kanan Bahagian Piawaian dan Kualiti SIRIM Berhad, Dr. Mohd Yusoff Zakaria kepada Pengerusi PTM, Datuk Hamzah Bakar yang turut disaksikan oleh Leo Moggie.

Oleh: AMIRUDDIN A. KAMAL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi