Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 April 2001

Turunkan nilai ringgit merugikan

KUALA LUMPUR 14 April - Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, persekitaran semasa tidak langsung menguntungkan negara sekiranya ia mahu menurunkan nilai mata wang.

``Kami melihat mata wang (ringgit) kini berada pada nilai yang adil dan sekiranya ia hendak diturunkan nilai kita tidak akan melihat kebaikan daripada keupayaan berdaya saing.

``Sebarang bentuk kejatuhan nilai bagi sesebuah negara biasanya diikuti dengan kenaikan harga barangan, inflasi tinggi, kos import yang meningkat dan juga pendedahan kepada membayar hutang luar,'' kata beliau dalam transkrip soal jawab beliau bagi rancangan Money Matters yang disiarkan oleh TV3 malam ini.

Zeti menyifatkan langkah seumpama itu hanya menyumbang kepada peningkatan kos dalam menjalankan perniagaan serta melupuskan sebarang keuntungan yang diperoleh daripada nilai mata wang yang diturunkan.

Beliau menjelaskan, jumlah pelaburan langsung asing di negara ini mewakili sepertiga daripada jumlah pelaburan setiap tahun menyebabkan rejim kadar tukaran perlu memenuhi keperluan perdagangan dan pelaburan.

``Sehubungan itu, kita tidak mahu rejim kadar tukaran yang kini RM3.80 bagi sedolar Amerika Syarikat, mudah berubah-ubah dan juga senang dilanda krisis serta hanya menguntungkan bagi jangka pendek,'' kata beliau.

Beliau menambah, cadangan supaya ringgit dinilai semula adalah berdasarkan sentimen dan faktor jangka pendek kerana sekiranya berlaku ketidaktentuan nilai yang besar dalam jangka pendek, ia adalah mustahil untuk menjalankan perniagaan.

Zeti mempersoalkan kenapa ringgit harus diturunkan nilai kepada RM4 atau RM4.20 bagi sedolar AS apabila fakta menunjukkan dasaran ekonomi negara telah diperkukuhkan berbanding setahun lalu.

Beliau berkata, sekiranya dibuat perbandingan, Malaysia telah mempunyai kedudukan kewangan luar yang kukuh, memiliki sistem perbankan yang kukuh dan rizab asing yang kini berada pada paras AS$27 bilion selain asas dasaran-dasaran lain yang menggalakkan.

Zeti berkata, BNM tidak khuatir dengan rizab asing yang dikatakan terus berkurangan kerana ia bukan berkaitan dengan pengaliran keluar modal yang mana sekiranya berlaku perlu dibimbangi.

Sambil menjelaskan pengurangan berlaku itu adalah kerana penyelarasan penilaian semula dibuat pada setiap akhir suku tahun iaitu pada bulan April, beliau berkata rizab BNM adalah meluas kepada semua mata wang utama dunia iaitu dolar AS, euro dan juga yen.

Beliau juga berkata, pihaknya juga tidak melihat sebarang aliran keluar portfolio asing yang boleh dikaitkan dengan langkah pengurus dana asing memudahtunaikan pegangan mereka dalam bursa saham tempatan.

Katanya, berbeza dengan Malaysia, negara yang gagal menyediakan keuntungan berdaya saing melalui untung kecekapan akan mengalami ketidakstabilan.

Mengulas mengenai cubaan supaya diperkenalkan crawling peg yang mana ringgit dibenarkan bergerak dalam jajaran tertentu, beliau berkata dalam sebuah negara yang menggunakan rejim tukaran asing, adalah penting melihat sama ada dasaran sandaran dapat menyokongnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi