Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 April 2001

Lupakan gimik, yang penting mesej

TANPA disedari, syarikat selalunya menggunakan perhubungan awam sebagai gimik untuk publisiti dan sebagai penyelamat semasa krisis. Walaupun kerjaya perhubungan awam telah lama bertapak di Malaysia, tanggapan ini masih dipegang ramai.

Ini mengingatkan saya mengenai satu pelancaran produk oleh sebuah syarikat baru-baru ini. Syarikat itu telah membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk gimik semasa pelancaran termasuklah pertunjukan bunga api yang hebat, persembahan daripada dua penyanyi popular, pertunjukan laser, pertunjukan fesyen, siap dengan belon dan penari di sebuah hotel terkemuka.

Yang peliknya, syarikat yang sama enggan mengeluarkan walaupun satu sen untuk pembangunan mesej bersesuaian bagi tatapan penonton sasaran mereka.

Amat mudah untuk difahami mengapa perhubungan awam dan publisiti sering dianggap perkara yang sama. Penonton sasaran anda mempunyai terlalu banyak pilihan, tidak mempunyai masa dan begitu banyak perkara yang menarik perhatian mereka.

Oleh itu, syarikat lebih tertarik untuk membuat gimik bagi menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan penonton. Perasaan ingin tahu ini, kemudiannya, membuatkan orang lebih tertarik dengan mesej anda.

Kini, penggunaan perhubungan awam mestilah lebih luas dan bukan sahaja untuk menguruskan sidang media ataupun menghantar siaran akhbar. Kita mulakan dengan merancang pembangunan program perhubungan awam bersasaran yang telah direka untuk menghantar mesej yang jelas kepada penonton sasaran.

Kadangkala, walaupun berjaya menghantar mesej kepada penonton sasaran tidak bermakna mereka menerima mesej yang dikehendaki. Hasil kajian, seorang penyelidik dari Harvard telah menunjukkan bahawa purata petikan ucapan untuk kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat di televisyen turun daripada 41.5 saat setiap siaran pada tahun 1968 kepada 10 saat pada tahun 1988.

Ini bermakna penduduk Amerika hanya mendengar 16 patah perkataan pada satu-satu malam yang digunakan untuk membuat keputusan siapakah yang bakal menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Orang ramai menerima lebih banyak maklumat tetapi kurang memahaminya. Kita bukan sahaja dapat melihat lebih banyak saluran keluar untuk media, malah aliran maklumat juga meningkat dengan pantas sejak beberapa tahun ini. Mesin faksimile, telefon bimbit, modem, kabel gentian optik, e-mel, surat dan televisyen satelit, semuanya telah mengubah cara bagaimana kita mendapatkan maklumat, bila dan apa tindakan yang perlu diambil.

Kembali kepada isu terlebih perbelanjaan untuk pelancaran yang dibicarakan tadi, saya percaya dengan melakukan sesuatu yang berbeza akan mendapat perhatian yang lebih. Tetapi, kita bukan sahaja mahukan perhatian. Kita juga mahukan peringatan. Kita mahu mesej yang dihantar sentiasa bermain dalam ingatan para penonton sasaran.

Saya mengatakan semua itu hanyalah satu cara pembaziran wang ialah kerana:

a) Produk yang cuba dijual oleh syarikat itu tidak diwakili atau ditonjolkan oleh mana-mana pertunjukan dan persembahan yang dijalankan. Syarikat itu bukannya menjual bunga api, mewakili penyanyi popular, menyediakan pertunjukan laser, gudang fesyen, menjual belon dan sudah tentunya bukan sebuah sekolah tarian.

b) Berapa ramaikah boleh mengisi dewan terbesar di Malaysia pada satu-satu masa? Jika anda sudah mendapat jawapannya, jumlah itu sahajalah yang dapat menikmati kecanggihan acara pelancaran itu. Jika ada liputan daripada stesen televisyen, hanya beberapa saat sahaja daripada pertunjukan anda akan diperlihatkan di kaca televisyen. Laporan akhbar pun hanya akan menunjukkan satu gambar sahaja (kalau bernasib baik, gambar berwarna akan digunakan).

c) Pelancaran itu sebenarnya menjadi publisiti percuma untuk syarikat-syarikat yang menyediakan pertunjukan dan persembahan di atas dan untuk penyanyi-penyanyi itu membuat lebih banyak jualan CD. Syarikat pengurusan acara pula akan tersenyum kerana banyak membuat keuntungan.

Bagaimanakah ia sepatutnya dilakukan?

a) Ucapan anda sepatutnya menjadi tarikan utama pada mana-mana acara pelancaran. Pada masa inilah mesej anda akan sampai kepada penonton termasuk pihak media yang akan menyebarkan mesej anda kepada kawasan penonton yang lebih luas lagi.

b) Latih CEO anda supaya mereka dapat menyampaikan ucapan dengan penuh keyakinan.

c) Tambah perbelanjaan untuk sampaikan lebih banyak maklumat kepada pihak media. Risalah, lampiran fakta, manual, lawatan sambil belajar dan produk percuma untuk para media membolehkan mereka memahami mesej anda dengan lebih baik lagi.

d) Jika anda masih gemarkan gimik, pastikan gimik-gimik itu membantu memperkenal dan menerangkan dengan mendalam lagi tentang produk anda. Peluang-peluang bergambar seharusnya mewakili apa yang anda lakukan, apa yang anda tawarkan dan apakah manfaat-manfaatnya.

e) Lakukan sesuatu yang senang difahami bila ia diterbitkan di dalam media cetak. Jika gambar boleh membawa seribu makna pastikan anda boleh menyediakan gambar sebegitu.

f) Fikirkan peluang yang ada di luar dewan acara anda. Rancang mesej-mesej anda supaya sampai kepada penonton sasaran yang merupakan pelanggan-pelanggan berpotensi, pembiaya anda, kerajaan, negara dan dunia.

g) Gunakan sebanyak masa yang mungkin untuk menilai bagaimana mesej anda mampu menonjolkan perwatakan anda positif atau negatif. Rancanglah untuk pengurusan krisis. Tumpuan perbelanjaan harus digunakan untuk melatih pekerja dan meningkatkan kemudahan pengurusan pelanggan.

Oleh Razak Abu Bakar, perunding kanan bersama Alpha Platform PR.

Jika anda mempunyai sebarang soalan ataupun pandangan, silalah hubungi beliau di razakba@pd.jaring.my ataupun 03-42562617.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi