EKONOMI

Utusan Malaysia 21 mac 2001

Beli saham MAS pertahankan maruah negara - Daim

KUALA LUMPUR 21 Mac - Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menegaskan pembelian saham Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dilakukan demi mempertahankan maruah negara kerana kerajaan tidak rela membiarkan syarikat penerbangan nasional itu diambil alih oleh pihak asing.

Oleh itu, beliau berkata pembelian saham tersebut pada harga RM8 sesaham bukanlah untuk menyelamatkan Tan Sri Tajudin Ramli ataupun Syarikat Naluri Berhad (Naluri) yang dimilikinya.

``Ini soal maruah negara. Kita bertindak untuk mempertahankan satu aset dan industri strategik negara.

``Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan lambang kebangsaan negara agar ia terus dimiliki oleh rakyat Malaysia,'' katanya ketika menjawab soalan Datuk Husni Mohd. Hanadzlah (BN-Tambun) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Daim berkata, sekiranya rakyat tidak berpuas hati dan memutuskan supaya pembelian itu ditarik balik, kerajaan boleh menjual semula saham tersebut kepada Naluri.

``Namun, saya ingin mengingatkan bahawa sejurus selepas itu, kerajaan tidak berhak untuk menghalang Naluri daripada menjual saham tersebut kepada sesiapa yang mereka suka,'' katanya.

Menurut Daim, beliau telah dimaklumkan oleh Naluri bahawa syarikat tersebut mempunyai pelabur asing yang berminat membeli blok saham MAS daripadanya (Naluri) pada harga yang lebih tinggi daripada RM8 sesaham.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan harga sebenar yang ditawarkan sebaliknya menjelaskan, berdasarkan analisis oleh beberapa institusi perbankan antarabangsa nilai saham MAS adalah melebihi RM9 sesaham.

``Bila ini berlaku, kerajaan akan hilang kawalan ke atas syarikat penerbangan nasional tersebut dan bila ini terjadi jangan salahkan kerajaan,'' katanya.

Daim menjelaskan, sebelum pembelian dibuat, kerajaan telah menilai kedudukan MAS daripada pelbagai aspek dan mendapati harga yang diputuskan adalah wajar berasaskan:

* Saham yang dibeli merupakan `blok kawalan' yang mempunyai premium kerana adanya hak pengurusan.

* Aset ketara bersih (NTA) MAS sekiranya dinilai semula akan menggambarkan harga pasaran melebihi RM8 sesaham.

* Aset asas MAS mempunyai potensi bagi menghasilkan pertumbuhan pada masa akan datang.

* Jenama MAS sebenarnya mempunyai nilai tersendiri kerana MAS mempunyai francais dan menyediakan perkhidmatan kepada kesemua enam benua di dunia.

Di Asia, hanya terdapat segelintir syarikat penerbangan lain yang mempunyai bilangan destinasi dan liputan seperti MAS.

* Kerajaan yakin dapat memulihkan semula MAS dalam masa yang singkat.

Beliau berkata dengan mengambil kira harga saham Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific, harga pembelian saham MAS sebanyak RM8 seunit adalah berpatutan serta pada nilai yang baik kerana MAS mempunyai aset dan potensi berkembang.

Jelas beliau lagi, pembelian saham Naluri juga adalah atas pertimbangan kerajaan yang tidak mahu melihat MAS yang diterajui Naluri terus merosot dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tidak ada kelebihan khas diberikan kepada Tajudin dalam kes pembelian saham tersebut kerana sekiranya syarikat lain yang memiliki saham MAS, kerajaan masih akan membeli saham tersebut bagi memastikan MAS tidak terjerumus ke dalam keadaan yang lebih buruk.

Beliau berkata, sejak kegawatan ekonomi yang lalu, prestasi MAS merosot dan tidak mencapai tahap yang diharapkan menyebabkan kerajaan bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk jika ia tidak ditangani segera.

Menurutnya, berikutan kegawatan ekonomi, MAS mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM256.6 juta dalam tahun kewangan 1997/1998 dan seterusnya sebanyak RM255.7 juta dalam tahun kewangan 1999/2000.

Kerugian tersebut menurutnya, antara lain disebabkan kadar tukaran asing, kos bahan bakar yang naik mendadak dan kadar tambang yang rendah bagi sektor domestik yang membawa kepada kerugian.

``Keadaan ini telah menjejaskan kedudukan kewangan MAS dan prestasinya di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL),'' katanya.

Daim berkata, usaha menangani MAS harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh kerana ia melibatkan infrastruktur lain yang sedia ada seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

``Kegagalan MAS tentunya akan menjejaskan usaha kerajaan mempromosi KLIA. Usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan juga akan turut terjejas,'' katanya.

Mengenai hutang MAS, menurut Daim, sebelum Naluri mengambil alih teraju syarikat itu, jumlah hutangnya RM6,632.4 juta dan kini jumlahnya meningkat kepada RM9,520 juta kerana pembelian pesawat tambahan.

Begitupun, dari segi aset, dalam bentuk jumlah pesawat, ia telah meningkat daripada 73 buah sebelum pengambilalihan oleh Naluri 82 buah selepas kerajaan mengambil alih.

Tambah beliau, jumlah aset MAS pada 31 Disember tahun lalu adalah RM11.44 bilion dan destinasi MAS telah meningkat daripada 88 pada akhir tahun 1994 kepada 108 destinasi pada akhir tahun lalu sementara kekerapan penerbangannya juga bertambah daripada 80 sehari kepada 130 penerbangan sehari bagi tempoh yang sama.

Oleh: ROSNI HASSAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi