Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 16 April 2001

PM mahu negeri-negeri giat usahakan sumber kraf tangan

KUCHING 15 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mahu semua kerajaan negeri memastikan penanaman sumber kraf tangan seperti bemban dan buluh diusahakan dengan lebih giat supaya ia tidak terus pupus ditelan zaman.

Malah sumber kraf tangan seumpama itu yang berpotensi menghasilkan pelbagai produk kraf menarik di negara ini mesti ditanam bagi tujuan komersial.

Saranan itu disuarakan oleh Perdana Menteri sendiri melalui Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz pada satu pertemuan sebelum ini.

Nazri memberitahu, pada pertemuan itu Dr. Mahathir meminta beliau supaya mengarahkan semua kerajaan negeri mengambil perhatian serius mengenai perkara tersebut.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Adiguru Kraf di Pusat Pembangunan Kraf Sarawak di Jalan Stadium Negeri di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha di Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Zakiah Hashim, Ketua Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia, Siti Azizah Abot dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Tanah Sarawak, Datuk Gramong Juna.

Menurut Nazri, Perdana Menteri amat menitikberatkan tentang perusahaan kraf tangan di negara ini khususnya sumber berasaskan tanaman seperti buluh dan bemban.

``Usaha menggiatkan lagi penanaman sumber kraf tangan seumpama itu perlu diteruskan kerana ia berpotensi menghasilkan pelbagai produk kraftangan negara,'' katanya.

Nazri selanjutnya menarik perhatian, negara kini menyandarkan harapan kepada Sarawak dalam usaha memaju dan menghidupkan budaya kraf tangan berdasarkan terdapat banyak sumber kraf di negeri itu.

Sementara di sebelah Semenanjung katanya, hanya negeri Kelantan dan Terengganu masih mempunyai hasil kraftangan sedangkan negeri lain sumber itu semakin pupus.

Nazri juga berkata, beliau akan memastikan usaha untuk memperkembangkan hasil kraftangan di Sarawak terus dilakukan secara bersungguh-sungguh termasuk keunikan hasil tenunan pua kumbu yang popular di kalangan masyarakat Iban.

Pada majlis itu, Bangie ak Embol, 56, diberi pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf dalam bidang pua kumbu yang disempurnakan oleh Nazri.

Pengiktirafan Adiguru yang mula diperkenalkan pada tahun 1987 sebagai penghormatan kepada tokoh unggul mengikut bidang tertentu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi