Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 16 April 2001

Perkhidmatan pelanggan tidak membanggakan

Oleh: ABU HAKIM TANZIMUDDIN
KUALA LUMPUR 15 April - Malaysia tidak dinafikan mampu menghasilkan kereta yang terbaik, tetapi malangnya dari segi perkhidmatan pelanggan, ia masih jauh daripada membanggakan.

Sememangnya, itulah kelemahan kita hingga kini.

Tidak menghairankan sekiranya ramai yang kecewa dengan penjelasan Edaran Otomobil Nasional Bhd. (EON) di sebalik kesediaannya untuk mengembalikan wang deposit pembelian kereta Proton Waja, jika kereta ditempah gagal diserahkan tepat masanya.

Setelah menunggu berbulan-bulan, pembeli kereta Waja bukan meminta wang deposit mereka dikembalikan atau diberikan pilihan lain setelah berlaku kegagalan penyerahan tetapi sebaliknya menagih janji EON atau Proton Edar Sdn. Bhd. (dulunya USPD).

Biarpun setakat ini, hanya EON menyatakan kesediaan pihaknya memulangkan wang deposit itu berbanding Proton Edar, ia sebenar tidak melegakan orang ramai.

Pastinya apabila sudah hampir tarikh penyerahan, pembeli sudah pun tertunggu-tunggu, malah terbayang-bayang untuk menaiki kereta idamannya.

Bayangkan perasaan pembeli jika serahan tidak dibuat, sebaliknya dikembalikan deposit tempahan, kalau ada yang mengikut emosi mungkin boleh membawa pertelingkahan fizikal.

Sebenarnya, kedua-dua pengedar kereta nasional itu perlu secara profesional komited terhadap apa yang dijanjikan iaitu menyerahkan kepada pembeli kereta yang mereka tempah dalam tempoh yang ditetapkan.

Minat yang tinggi orang ramai untuk membeli kereta berkenaan tidak harus dijadikan alasan untuk kedua-dua syarikat menerima pakai amalan take it or leave it.

Ini kerana rungutan orang ramai akhirnya mampu menjejaskan kredibiliti syarikat-syarikat berkenaan terutama menjelang pembukaan pasaran serantau.

Sewajarnya mana-mana syarikat kereta yang gagal menyerahkan kereta tepat pada masanya perlu membayar faedah tertentu dan ganti rugi `kehampaan' mengikut tempoh lama wang deposit itu ada pada mereka.

Sememangnya benar, EON dan Proton Edar mempunyai hak sebagai penjual dan tiada paksaan dikenakan.

Mereka juga patut menghormati hak pembeli dengan mematuhi peraturan dalam urusan jual beli itu iaitu penyerahan mengikut jadual agar penjual perlu menghadapi kemungkinan lain.

Kita tidak menolak kemungkinan ejen-ejen pengedar EON dan Proton Edar yang mengambil kesempatan ekoran permintaan yang tinggi itu untuk tidak memaklumkan kepada pembeli tarikh sebenar serahan kereta yang ditempah bagi mengelakkan bakal pembeli membatalkan hasratnya kerana perlu menunggu terlalu lama.

Dalam keadaan ini wajar EON dan Proton Edar mengambil inisiatif memastikan pembeli diberi maklumat sebenar, bukannya dimaklum mereka akan menerima kereta dalam lima bulan apabila mereka sebenarnya perlu menunggu berbelas-belas bulan untuk serahan.

Sudah wajar difahami bahawa kebanyakan pembeli Waja adalah golongan yang sudah mempunyai kereta dan mereka perlu menjadualkan penjualan kereta mereka itu sesuai dengan tarikh penyerahan kereta baru mereka.

Dengan itu aspek tarikh penyerahan yang tepat adalah amat penting kepada pembeli jika tidak mereka tidak akan mendapat nilai sebenar kereta yang sedang digunakan jika dijual pada saat akhir atau terpaksa menanggung masalah ketiadaan kenderaan untuk bergerak bagi satu tempoh yang lama jika menjualnya terlalu awal.

Mengambil kira semua faktor ini, EON dan Proton Edar tidak seharusnya memandang ringan tarikh penyerahan yang tepat sebagai amalan perniagaan yang memuaskan hati kedua-dua pihak, pembeli dan penjual, bukannya untuk sebelah pihak sahaja.

Sebagai contoh, tentunya, tiada siapa mahu berulangnya kekecewaan seorang pembeli, Mohd. Nordin Abu Bakar dari Pontian yang telah menempah Waja seminggu selepas pelancarannya pada Ogos tahun lalu tetapi masih belum menerimanya walaupun hasrat beliau adalah untuk memiliki kereta berkenaan sebelum Hari Raya Puasa lalu!.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi