Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 20 April 2001

DPMM digesa nilai semula diri sendiri

Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT
KUALA TERENGGANU 19 April - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) perlu membuat satu penilaian semula terhadap pertubuhan itu agar diterima sebagai pejuang maruah serta martabat ekonomi bangsa dalam konteks cabaran ekonomi dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, oleh itu DPMM perlu mengkaji serta merombak semula keterbatasan dalam perlembagaannya dengan merangkumi sektor yang lebih luas.

Menurut beliau, dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang 2 (RRJP2), terdapat kira-kira 697,000 usahawan bumiputera dan kira-kira 57,700 syarikat bumiputera telah berdaftar dengan pendaftar perniagaan dan syarikat.

``Difahamkan, jumlah ahli langsung DPMM ialah 5,982 (individu dan syarikat) di mana 75 peratus jumlah itu terdiri daripada kontraktor dan pembekal yang bergantung kepada projek dari sektor awam dan 10 peratus pula daripada pengilang.

``Mana mungkin DPMM memainkan peranan berkesan sebagai satu badan `de facto' mewakili seluruh usahawan Melayu jika keahliannya kurang daripada satu peratus daripada jumlah yang terdapat dalam tempoh RRJP2,'' ujar beliau.

Menurut beliau, ahli-ahlinya tidak akan berupaya menjadi pemain global jika mereka tertumpu kepada kegiatan yang terjana dari sektor awam yang hanya 15 peratus dari pengeluaran negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Khalid Nordin semasa merasmikan mesyuarat agung ke-28 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) di sini petang ini.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya meminta setiap pemimpin dan ahli DPMM memupuk semangat ukhuwah.

Menurut Abdullah, kerajaan tetap tidak akan bergantung kepada pendukung atau penyokong Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baik di dalam atau di luar negara.

Katanya, turut ditekankan dalam penyusunan ini ialah mewujud serta menggalakkan usaha niaga bumiputera dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, menggalakkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan meneruskan penswastaan.

Katanya, setiap tindakan dan pendirian tegas kerajaan adalah berdasarkan acuan sendiri.

``Bayangkan jika IMF mengambil alih ekonomi negara dan preskripsinya diamalkan sedangkan ketidakstabilan sosial dan politik terus berlaku di negara jiran,'' katanya.

``Tugas dan tanggungjawab merealisasikan dasar serta program ini terletak di bahu setiap usahawan dan jika gagal, maka pemisahan serta jurang bidang ekonomi antara usahawan Melayu dan bukan Melayu terus berlaku.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi