Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 20 April 2001

Tenaga kerja ICT tumbuh 12 peratus

Oleh: KHAIRUDDIN MOHD. AMIN
KUALA LUMPUR 19 April - Tenaga kerja dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara dijangka mengalami pertumbuhan antara sembilan hingga 12 peratus setahun sepanjang tempoh 10 tahun Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, sebanyak 14.2 peratus daripada tenaga kerja negara merupakan tenaga kerja profesional dan teknikal pada 2010.

``Jumlah pekerja IT pula dijangka meningkat kepada 306,610 orang dalam tempoh 10 tahun berbanding 108,000 orang ketika ini,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis memeterai memorandum perjanjian antara Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Matsushita Electric Industrial Co. (Japan) Ltd. (Matsushita Electric).

Pada majlis itu, MMU diwakili oleh Presidennya, Prof. Dr. Ghauth Jasmon manakala Matsushita Electric pula diwakili oleh Pengarahnya, Yoshiaki Kushiki.

Menurut Rafidah, selain membangunkan sumber manusia, bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu diberi perhatian dan mempunyai ciri-ciri tambah nilai kepada proses ekonomi negara.

Beliau berkata, R&D juga perlu memberi tumpuan terhadap menaikkan taraf dan meningkatkan prestasi dalam sesuatu sektor bagi membolehkan sektor terbabit terus berdaya saing.

Sementara itu, Yoshiaki berkata, Matsushita Electric memperuntukkan RM1.2 juta dalam tempoh tiga tahun bagi menjalankan R&D dan mengadakan seminar dengan MMU.

Beliau berkata, sebanyak RM400,000 akan dibelanjakan setiap tahun dan daripada jumlah itu RM200,000 adalah untuk R&D manakala bakinya RM200,000 akan digunakan untuk menganjurkan seminar.

``Kita akan membincangkan jumlah peruntukan lain dengan MMU selepas tiga tahun,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi