FATWA

Utusan Malaysia 16 mac 2001

Fatwa Gembira Pada Hari Kebesaran Islam

Soalan: Apakah hukum memperlihat kegembiraan pada Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, malam nisfu Sya`ban atau pada malam asyura?.

Shahril Rawang,Selangor

JAWAPA:Amalan memperlihatkan atau menunjukkan kegembiraan atau kesenangan pada hari-hari kebesaran Islam seperti pada Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha atau hari-hari tasyrik tidak memberi apa-apa kesan selagi ia tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariaat Islam

Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud: Hari-hari tasyriq adalah hari-hari makan dan minum serta berzikir kepada Allah.

Pada tiga hari tasyriq atau Hari Raya Aidiladha misalnya, umat Islam seluruh dunia sama-sama mengadakan ibadat korban dan sama-sama menikmati daging haiwan korban.

Dalam keadaan ini mereka sebenarnya menikmati kurniaan Allah s.w.t. yang dianugerahkan kepada mereka pada waktu dan saat itu.

Begitu jugalah keadaannya pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam dibenarkan memperlihatkan kegembiraan dan kesenangan mereka selagi apa yang ditonjolkan itu tidak bertentangan dengan perintah dan hukum syarak.

Bagaimanapun berbeza dengan malam 27 Rejab, malam Nisfu Sya`ban atau pada hari Asyura di mana perbuatan menunjuk-nunjuk kegembiraan pada hari-hari tersebut adalah tidak berasas.

Selain dilarang, umat Islam yang dijemput menghadiri persiapan untuk menyambutnya sebaik-baiknya menolak pelawaan itu.

Ini kerana perbuatan itu boleh dikatagorikan sebagai bida`ah (setiap bida`ah adalah kesesatan) walaupun ada sesetengah pendapat yang menyatakan perayaan pada malam 27 Rejab sempena mikraj Rasulullah s.w.a sedangkan ia tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun dari segi sejarah.

Seperti sedia maklum, setiap perkara yang tidak diriwayatkan atau dinukilkan oleh sejarah Islam sebagai satu amalan ibadat dengan menganggapnya satu ibadat adalah batil, dan setiap sesuatu yang didasarkan kepada perkara batil dengan sendirinya adalah batil.

Biarpun menurut kiraan, malam 27 Rejab adalah bersamaan dengan malam mikraj Baginda s.a.w ke langit, tetapi membuat sesuatu yang baru dengan anggapan ianya satu ibadat adalah dilarang. Apatah lagi hal sedemikian tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sekalian.

Sekiranya perayaan seperti itu tidak pernah dibuat atau disebut oleh para sahabat, sedang mereka adalah golongan yang kuat dan teguh mematuhi sunah Baginda, bagaimana mungkin kita mencipta amalan-amalan baru yang tidak ada pada zaman mereka.

Mengenai hari Asyura` tidak ada apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. mengenai hari itu kecuali mengenai puasa.

Ketika ditanya mengenai puasa pada hari itu, Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:"ia menghapuskan dosa tahun lalu."

Itupun Baginda memerintahkan agar kita berpuasa sehari sebelum atau sesudahnya, agar bertentangan dengan orang Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Sumber: Darul Ifta` Mesriah

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi