FATWA

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Fatwa Al-Azhar Online

FATWA 1: SUMPAH DAN KIFARATNYA.
SOALAN: Saya mempunyai seorang anak perempuan yang sudah berkahwin dan telah sekian lama tinggal bersama-sama dengan saya. Baru-baru ini, dia dan suaminya mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sewa. Ekoran perasaan marah, saya bersumpah bahawa sekiranya dia berpindah, saya tidak akan menjejakkan kaki saya ke rumahnya. Bagaimanapun, layanan baik yang diberikan oleh mereka sekeluarga kepada saya setelah berpindah menimbulkan rasa penyesalan dalam diri saya berkaitan sumpah tersebut. Apakah caranya untuk melepaskan diri dari sumpah itu dan adakah saya boleh memasuki rumahnya?

IBU SESAL, Rawang, Selangor.

JAWAPAN: Si ibu yang bertanya telah melakukan beberapa kesilapan dan kesalahan berhubung dengan kes ini. Pertama, sangkaan beliau bahawa anak perempuannya mesti tinggal bersama dengannya buat selama-lamanya.

Kedua, menggalakkan anak perempuannya supaya tidak mengikut suami dengan sangkaan bahawa mentaatinya perlu didahulukan daripada mentaati si suami.

Ketiga, bersumpah bahawa dia (si ibu) tidak akan menziarahi anak perempuannya jika dia keluar dari rumah bersama suaminya.

Maka jelaslah di sini bahawa masalah yang dihadapi oleh si ibu yang bertanya adalah ekoran perbuatan atau kesalahannya sendiri.

Memang menjadi hak seorang suami yang mampu untuk membawa si isteri keluar dari rumah ibu bapa isterinya dan tinggal berdikari di rumah berasingan. Malahan ini mungkin dapat menjauhkan mereka daripada masalah-masalah yang sering berlaku antara menantu dengan mertua yang sering mengeruhkan kesucian hubungan antara kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun, sekiranya si ibu yang bertanya menyesal di atas apa yang berlaku serta berhajat untuk menziarahi anak perempuannya itu, hadis Nabi s.a.w boleh dijadikan panduan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Sabda baginda, maksudnya: Barangsiapa yang mengangkat sumpah atas sesuatu dan kemudian melihat ada yang lebih baik daripadanya, maka hendaklah dia mengambil yang baik itu dan hendaklah dia kifaratkan (menebus) sumpahnya.

Sekiranya seseorang bersumpah bahawa dia tidak akan melawat saudara maranya dan tidak akan menghubungkan silaturahim antara keluarganya, adakah ini bermakna dia mesti memutuskan hubungan silaturahim serta melakukan dosa besar dan keji itu disebabkan oleh sumpahnya? Adakah sumpah itu menjadi halangan kepadanya untuk membuat kebaikan? Sudah tentu tidak! Al-Quran sendiri di dalam salah satu ayatnya melarang orang Islam menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai penghalang kepada amalan-amalan kebaikan di kalangan manusia.

Hakikatnya, apabila seseorang itu bersumpah seperti sumpah yang dibuat oleh si ibu tadi, maka jalan keluar yang disyariatkan oleh syarak ialah menerusi kifarat.

Dalam kes si ibu tadi, dia wajib menziarahi anaknya dan mengkifaratkan sumpahnya sama ada selepas atau sebelum melakukan ziarah. Cara untuk kifarat sumpahnya ialah dengan memberi makan sepuluh orang miskin dengan kadar sederhana makanan yang diberikan kepada keluarga dan dirinya.

SUMBER : Dr. Yusuf al-Qaradawi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi