FATWA

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

FATWA AL-AZHAR ONLINE

FATWA SATU: GUNA KEJUTAN ELEKTRIK UNTUK SEMBELIH BINATANG.
SOALAN: Apakah hukum penggunaan kejutan elektrik atau penggunaan dadah tertentu bagi meringankan kesakitan binatang sebelum disembelih seperti yang dipraktikkan oleh beberapa buah negara Islam?

KELIRU,

Rawang, Selangor.

JAWAPAN: Firman Allah s.w.t pada ayat 3, surah al-Maidah, maksudnya: Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, daging haiwan yang disembelih atas nama selain Allah, (haiwan) yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih serta (diharamkan bagimu binatang) yang disembelih untuk berhala.

Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis baginda turut mengingatkan umatnya bahawa Allah s.w.t telah menetapkan sifat ihsan ke atas semua perkara. Sehubungan itu, umat Islam diingatkan supaya berlaku baik kepada haiwan-haiwan yang hendak disembelih.

Ulama menjelaskan, ihsan semasa sembelihan ialah melakukannya dengan lembut, tidak menyembelihnya dengan kasar, tidak membawa binatang sembelihan dari satu tempat ke satu tempat serta menajamkan alat sembelihan.

Inilah perintah dan arahan Allah berkaitan dengan proses penyembelihan, dari segi apa yang halal dan apa yang haram.

Berhubung dengan soalan mengenai penyembelihan menggunakan kejutan elektrik atau dadah, ulama menegaskan bahawa ia terpulang kepada beberapa syarat.

Pertama, ia dibenarkan sekiranya cara itu dapat menenangkan haiwan tersebut sebelum disembelih serta melemahkan `tentangannya' semasa disembelih.

Kedua, kejutan elektrik atau dadah itu tidak memberi kesan kepada nyawa haiwan sembelihan tersebut. Maknanya, haiwan itu masih dapat hidup seperti biasa sekiranya ia dilepaskan iaitu tidak disembelih selepas melalui proses berkenaan.

Jika haiwan tersebut diandaikan akan mati juga walaupun tidak disembelih selepas melalui proses kejutan elektrik atau penyuntikan dadah itu, maka kematiannya selepas disembelih adalah diragui.

Dalam keadaan ini, daging sembelihan tersebut haram dimakan atas andaian kematiannya adalah disebabkan oleh kejutan elektrik atau akibat penggunaan dadah sebelum disembelih.

Ini kerana, nas-nas fiqh menurut syariat Islam menetapkan bahawa daging haiwan sembelihan yang berkongsi sebab-sebab kematiannya antara sebab haram dan sebab halal, adalah haram.

SUMBER : Syeikh Gadul Haq Ali Gadul Haq.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi