FATWA

Utusan Malaysia 15 Jun 2001

FATWA AL-AZHAR ONLINE

FATWA 1: ISTERI MINTA CERAI
SOALAN: Sebagai seorang wanita, saya menerima hakikat bahawa seorang lelaki dibenarkan berkahwin sehingga empat. Soalan saya, adakah benar seseorang isteri itu dianggap tidak mematuhi syariat Allah dan tidak dapat masuk syurga sekiranya dia meminta cerai daripada suaminya yang ingin berkahwin lagi?

Isteri taat, Sentul, KL.

JAWAPAN: Memang benar menjadi hak bagi seorang lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu berdasarkan kepada ayat 4 daripada surah al-Nisa' tetapi dengan syarat dia berlaku adil dan saksama kepada isteri-isterinya.

Firman Allah s.w.t maksudnya: Dan jika kamu takut tidak mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat.

Bagaimanapun, ayat suci al-Quran iaitu ayat 129 daripada surah yang sama (al-Nisa') telah menegaskan bahawa lelaki yang berkahwin lebih daripada satu tidak akan mampu berlaku adil kepada semua isteri-isterinya.

Firman Allah s.w.t maksudnya: Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri mu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.

Berdasarkan ayat terakhir ini, menjadi hak isteri pertama untuk meminta cerai jika suaminya ingin berkahwin kali kedua.

Ini kerana, suaminya sudah tentu tidak akan dapat memberikan keadilan kepada isteri-isterinya dan ini secara tidak langsung akan memberikan kemudaratan kepada isteri pertama.

Maka, menjadi hak isteri pertama untuk mengelakkan kemudaratan tersebut dengan meminta cerai dariada suaminya.

Tindakan isteri meminta cerai juga tidak akan menjadi satu penderhakaan kepada syariat Allah kerana sudah ternyata kemudaratan akan berlaku kepadanya atau sekiranya peraturan bahawa suami mesti menceraikan isteri pertama jika dia ingin berkahwin lagi telah dijadikan syarat semasa akad nikah mereka berdua.

SUMBER: Darul Ifta' Mesriah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum