Make your own free website on Tripod.com

FATWA

Utusan Malaysia 29 Julai 2001

Isteri mualaf boleh bersama suami bukan Islam

Oleh: ASTORA JABAT
MAJLIS Fatwa dan Penyelidikan Islam Eropah (Majlis Fatwa Eropah) mengeluarkan fatwa mengharuskan isteri mualaf atau baru memeluk Islam tinggal bersama suami bukan Islam sekiranya dia berkahwin dengan suaminya itu ketika masih belum memeluk Islam.

Fatwa tersebut dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Eropah dalam mesyuarat biasa ke- 8 yang diadakan di Valencia, Sepanyol pada 22 Julai lalu. Mesyuarat Majlis Fatwa Eropah itu dipengerusi oleh presidennya Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama pembangkang Mesir terkenal itu.

Dalam fatwa yang disiarkan dalam akhbar Arab antarabangsa, Asharq al-Awsat Jumaat lalu dijelaskan bahawa hukum tersebut dibuat berdasarkan kepada beberapa pandangan fikah dan dalilnya yang dikaitkan dengan kaedah fikah dan kaedah usul fikah dan matlamat syariah (maqasid asy-syara') serta mengambil kira hakikat-hakikat baru yang dihadapi wanita-wanita Islam di Barat disebabkan suami mereka mahu kekal dengan agama asalnya.

Bagaimanapun, fatwa tersebut mengharamkan wanita Islam yang merupakan Islam asal atau sejak dahulu lagi menjadi Islam berkahwin dengan lelaki bukan Islam sebagaimana telah diijmak atau disepakati ulama dahulu dan sekarang.

Adapun jika wanita Islam itu memeluk Islam selepas berkahwin dengan suaminya, dia boleh tinggal bersama suami yang bukan Islam itu.

Fatwa berkenaan terkandung dalam keputusan atau perkara keempat yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Eropah berkaitan kehidupan isteri yang memeluk Islam tanpa suaminya. Keputusan keempat itu berbunyi: ``Harus bagi isteri tinggal bersama suami yang bukan Islam atau membolehkan suami yang bukan Islam melakukan kehidupan suami isteri ke atas dirinya selepas tamat edah menurut pandangan empat mazhab.''

Empat mazhab ialah Mazhab Syafie, Mazhab Maliki, Mazhab Hanbali dan Mazhab Hanafi.

Dalam penghujahan seterusnya keputusan Majlis Fatwa Eropah itu menyebut bahawa sesetengah ulama mengharuskan wanita mualaf atau yang baru memeluk Islam tinggal bersama suami asal yang bukan Islam dengan mendapatkan segala hak dan kewajipan suami isteri jika tidak memudaratkan agamanya (isteri) serta dia juga berusaha untuk memujuk suami mengikuti jejaknya.

Ulama-ulama itu berkata, pendirian itu diambil agar tidak menjauhkan wanita bukan Islam daripada Islam. Kerana jika mereka mengetahui akan menyebabkan dirinya berpisah daripada suami dan meninggalkan keluarganya, mereka akan menjauhi Islam.

Hukum itu berdasarkan kepada ijtihad Amir Mukminin Umar bin al-Khattab yang membenarkan seorang wanita yang memeluk Islam memilih untuk tinggal bersama suaminya yang tidak memeluk Islam atau bercerai dengannya. Umar bin al-Khattab berkata: ``Jika engkau mahu, ceraikan dia dan jika engkau mahu, tinggal bersamanya.''

Kata-kata Umar bin al-Khattab itu terkandung dalam riwayat yang benar (thabitah) diceritakan oleh Yazid bin Abdullah al-Khatmi.

Begitu juga ia berdasarkan kepada pandangan Amir al-Mukminin Ali bin Abi Talib yang membenarkan wanita Kristian yang memeluk Islam ditiduri suaminya yang merupakan Kristian atau Yahudi. Ia juga merupakan riwayat benar.

Riwayat seumpama itu juga diceritakan datang daripada Ibrahim an-Nakhi'i, asy-Sya'bi dan Hamad bin Abi Sulaiman.

Baki tiga keputusan Majlis Fatwa Eropah sebagai berikut:

1. Jika suami dan isteri bukan Islam memeluk Islam dan isteri bukan tergolong daripada wanita mahram dan sesusu dengannya, maka perkahwinan asal mereka sebelum Islam adalah sah.

Ini bererti mereka berdua tidak perlu berkahwin semula setelah memeluk Islam.

2. Jika suami seorang saja memeluk Islam dan tiada perkara-perkara yang mengharamkan mereka berdua berkahwin serta isteri pula merupakan ahlul kitab, maka perkahwinan asal mereka juga sah.

3. Jika isteri memeluk Islam dan suami masih beragama asalnya, maka ada empat hukum:

A: Jika isteri memeluk Islam sebelum berkahwin dengan suami dan belum juga disentuh atau ditiduri olehnya, maka wajib bagi mereka bercerai dengan segera.

Ini bermaksud jika seorang wanita bukan Islam memeluk Islam dan selepas itu dia berkahwin dengan seorang lelaki bukan Islam serta ditiduri olehnya, maka perkahwinan mereka tidak sah dan wajib bercerai dengan segera. Si isteri dalam kes ini tidak boleh menjadi orang Islam dan tinggal bersama suami bukan Islam seperti yang disebut dalam keputusan keempat di atas.

B: Jika isteri memeluk Islam selepas berkahwin dan ditiduri oleh suaminya dan si suami pula memeluk Islam sebelum tamat edah, maka perkahwinan mereka dianggap sah.

Dalam kes ini tidak perlu lagi diakad nikah baru seperti juga dengan keputusan kedua.

C: Jika isteri memeluk Islam selepas berkahwin dan ditiduri oleh suaminya serta tamat edah, maka si isteri mesti menunggu si suami memeluk Islam walaupun berapa lama. Selepas itu jika si suami memeluk Islam, perkahwinan awal mereka dianggap sah tanpa diperbaharui.

D: Jika isteri bukan Islam memeluk Islam dan memilih lelaki lain untuk berkahwin dengannya selepas tamat edah, maka si isteri perlu menuntut fasakh daripada suami awal melalui mahkamah.

Perlu diterangkan bahawa fatwa atau hukum ini dibuat dalam konteks Barat bagi menyelesaikan masalah kehidupan keluarga yang dihadapi masyarakat di sana. Orang Barat juga kebanyakannya berpegang dengan agama-agama langit dan mereka tergolong daripada ahli al-kitab.

Mungkin para ulama negara ini mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu ini memandangkan masyarakat kita berbeza dan agama yang dipegang mereka juga tidak semuanya merupakan agama langit. Ada penduduk negara ini yang menganut agama-agama budaya seperti Hindu dan Buddha.

Dengan itu mungkin kita di sini memerlukan ijtihad yang lain yang sesuai dengan suasana kita.

Pihak yang layak untuk memikul tugas ini sudah tentu Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bagaimanapun, penulis ingin mengingatkan bahawa jika kita menolak atau menganggap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Eropah itu tidak sesuai dengan masyarakat negara ini ia kurang tepat.

Ini kerana hukum yang diijtihadkan oleh Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abi adalah dikuatkuasakan dalam negara Islam.

Ini bererti hukum yang diijtihad oleh kedua-dua khalifah itu lebih relevan dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam berbanding dengan masyarakat Barat. Wallahu `alam.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum