FATWA

Utusan Malaysia 03 Ogos 2001

FATWA 1: PEMUDA SALIH DIKAGUMI ALLAH


SOALAN: Adakah benar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah s.w.t kagum dan bangga dengan pemuda yang tidak menyeleweng atau menyimpang daripada jalan yang lurus?
LJ,
Tawau, Sabah.

JAWAPAN: Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tabrani daripada Uqbah bin Amir, maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu bangga (kagum) dengan pemuda yang tidak menyeleweng (terpesong dari jalan kebenaran).

Hadis ini turut disebut oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ketika membicarakan tentang bab bertaubat.

Dalam bab itu, beliau berkata, manusia terbahagi kepada dua jenis dan salah satu daripadanya ialah pemuda yang tidak terpesong, hidup dalam kebenaran serta menjauhkan diri daripada kejahatan.

Dalam pada itu, walaupun hadis ini menjadi perselisihan ulama dari segi sanadnya, namun ia tetap mempunyai makna serta maksud yang benar.

Ini kerana, pemuda yang mustaqim (berada pada jalan lurus), yang hidup dalam mentaati Allah serta menjauhkan diri daripada kejahatan adalah antara golongan yang akan `dipayungi' oleh `bayangan' Allah pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayangan-Nya sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadis sahih.

Apa yang dimaksudkan dengan rasa kagum serta takjub Allah s.w.t terhadap pemuda berkenaan dalam hadis di atas adalah keredhaan yang banyak dari sisi-Nya.

SUMBER: Lajnah Dai`mah Lil Buhuts Wal Ifta'.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum