FATWA

Utusan Malaysia 30 mac 2001

Arab Saudi akan musnah permainan Pokemon

RIYADH 29 Mac - Arab Saudi akan merampas dan memusnahkan semua jenis permainan Pokemon berikutan terbitnya fatwa yang mengharamkannya kerana terlalu menyerupai perjudian dan berunsur Yahudi.

``Semua permainan Pokemon di pasaran akan dirampas dan dimusnahkan serta-merta,'' kata ketua jabatan memerangi penipuan komersial, Abdul Ali al-Abdul Ali, dipetik oleh Arab News hari ini.

Beliau berkata, mereka telah mengarahkan jabatan kastam agar tidak meluluskan kemasukan sebarang permainan atau produk Pokemon.

Katanya, Kementerian Perdagangan juga akan menarik balik produk yang menggunakan watak Pokemon untuk promosi.

Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah al-Sheikh pada Ahad lalu mengharamkan permainan Pokemon.

Dalam fatwa itu, beliau menggesa semua umat Islam agar berhati-hati dengan permainan tersebut dan perlu menghalang anak mereka daripada bermain dengannya bagi melindungi agama dan kelakuan mereka.

Sheikh Abdul Aziz berpendapat fenomena seluruh dunia mengenai Pokemon, yang diperkenalkan di Jepun pada 1996, merupakan pengaruh buruk.

Beliau berkata, permainan itu menyerupai perjudian kerana terdapat pertandingan, dan konsep watak Pokemon dipercayai berasaskan kepada teori evolusi Charles Darwin, yang ditolak oleh Islam.

Katanya, kebanyakan kad Pokemon menunjukkan bintang pecah enam, yang merupakan simbol Zionisme antarabangsa dan negara Israel, di samping terdapat simbol salib pelbagai bentuk.

Pokemon dicipta oleh Satoshi Tajiri, berdasarkan kepada minatnya mengumpul serangga dan menonton rancangan raksasa di televisyen ketika zaman kanak-kanak.

Beliau mencipta permainan video yang mengandungi 150 watak animasi.

Kejayaan watak itu telah berkembang hingga kepada penjualan kad, buku komik, siri televisyen, filem dan barang permainan, dengan perolehan berbilion dolar. - AFP

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi