FATWA

Utusan Malaysia 30 mac 2001

FATWA 1: UPAH MANDI MAYAT
SOALAN: Apakah hukum mengambil upah memandikan mayat? Adakah perbuatan itu akan menghalangnya daripada pahala yang diberikan oleh Allah s.w.t.?

Keliru,
Seremban, N9.

JAWAPAN: Mengikut keutamaan, urusan memandikan mayat seorang Muslim dilakukan oleh orang-orang Islam yang hadir di situ secara sukarela dan semata-mata mengharapkan keredaan dan rahmat daripada Allah s.w.t.

Bagaimanapun, sekiranya ada waris atau saudara-mara si mati memberikan sesuatu kepada si pemandi mayat tadi sebagai upah, maka hal itu tidak mengapa.

Malah, ia tidak menghalang si pemandi berkenaan daripada mendapat rahmat dan keredaan daripada Allah s.w.t sekiranya amalan tersebut dilakukan dengan tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.

Dalam pada itu, sekiranya tiada orang yang sanggup memandikan mayat secara sukarela, waris atau saudara si mati boleh mengupah orang untuk melakukannya.

SUMBER: Darul Ifta' Al-Mesriah.

FATWA 2: GURAUAN PERSENDA AGAMA
SOALAN: Apakah hukum seseorang yang mengucapkan kata-kata gurauan mengandungi perkataan-perkataan yang mempersenda-sendakan Allah, rasul-rasul, kitab-kitab atau agama Islam itu sendiri?

Ingin tahu,
KL.

JAWAPAN: Perbuatan mempersenda-sendakan Allah, para rasul, kitab atau agama sama ada dalam bentuk gurauan atau bertujuan menarik perhatian orang adalah satu perbuatan yang kufur dan nifaq (munafik).

Kejadian senda-mempersenda ini pernah terjadi di zaman Rasulullah s.a.w, yang mengisahkan tentang perbuatan sekumpulan lelaki yang berkata:

``Kami tidak pernah melihat para pembaca yang lebih menyukai perutnya, lebih dusta lidahnya dan lebih takut tatkala bertemu daripada ini.

`Para pembaca' yang mereka maksudkan di atas ialah Baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.

Ekoran perbuatan dan kata-kata itu, maka turunlah ayat yang bermaksud: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), nescaya mereka akan menjawab, sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main sahaja.

Ini terbukti apabila kumpulan lelaki tadi datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan berkata: Sesungguhnya kami hanya ingin membicarakan tentang rombongan kafilah yang kami batalkan lantaran perjalanan yang terlalu berat.

Lantas, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, baginda s.a.w berkata kepada mereka: Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? Tidak usahlah kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir sesudah beriman.

Hakikatnya, masalah ketuhanan, kerasulan dan kewahyuan adalah satu permasalahan yang suci, yang tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran, ejekan mahu pun gurauan.

Tambahan, perbuatan sedemikian merupakan satu penghinaan terhadap Allah s.w.t, para rasul, kitab dan syariatnya yang menjerumuskan pelakunya ke lembah kekafiran.

Jawatankuasa Fatwa ingin menasihatkan kepada mereka yang pernah melakukan perbuatan seperti itu supaya segera bertaubat dan takut akan azab Allah yang maha pedih.

Sumber: Darul Ifta` Mesriah

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi