FATWA

Utusan Malaysia 06 April 2001

FATWA AL-AZHAR ONLINE

FATWA : SOLAT AL-WUSTA
SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dengan solat al-wusta dalam ayat 238 daripada surah al-Baqarah Peliharalah segala solatmu dan (peliharalah) solat wusta. Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.

Insan taat,

Batu Pahat, Johor.

JAWAPAN: Ulama berselisih pendapat serta berbeza pandangan tentang apa yang dimaksudkan dengan solat al-wusta dalam ayat tersebut.

Perbezaan ulama mengenai perkara itu boleh dibahagikan kepada sepuluh pendapat yang boleh dirujuk dalam kitab-kitab tafsir terkemuka.

Antara sepuluh pandangan itu, pendapat yang paling sahih ialah yang mengatakan bahawa solat al-wusta yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah solat asar.

Pendapat ini turut dipegang oleh ulama-ulama fikah dengan berhujahkan kepada beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan ulama-ulama hadis lain.

Antara hadis itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dengan katanya, hadis ini adalah hadis hasan sahih daripada Abdullah bin Mas'ud, daripada Rasulullah s.a.w yang bersabda, maksudnya: Solat al-wusta (ialah) solat Asar.

Namun, kesemua pendapat mengenai pengertian solat al-wusta didasarkan kepada dalil-dalil yang berbentuk kesimpulan dan bukannya dalam bentuk nas-nas.

Sehubungan itu, Ibn Umar dan Ar-Rabie' bin Haitham berkata, pengertian solat al-wusta tidak ditentukan dan disembunyikan oleh Allah sebagaimana Dia menyembunyikan malam lailatul qadar pada bulan Ramadan dan saat tibanya hari kiamat.

Imam al-Qurtubi turut bersetuju di dalam kitab tafsirnya bahawa penjelasan mengenai pengertian sebenar solat al-wusta adalah sesuatu yang meragukan kerana percanggahan dalil serta tiadanya pengesahan.

Justeru, apa yang tinggal ialah menjaga kesemua solat-solat yang diwajibkan di samping menunaikannya tepat pada waktu-waktu yang ditetapkan.

SUMBER : Lajnah Fatwa Bil-Azhar As-Shariff

FATWA 2 : CERAI TAKLIK
SOALAN: Seorang suami berpesan kepada isterinya supaya memberitahu sesiapa yang bertanya tentang dirinya bahawa mereka berdua telah bercerai dan tidak tinggal bersama lagi. Apakah jatuh talak sekiranya si isteri melakukan apa yang disuruh oleh suaminya itu?

Ingin Tahu,

Kajang, Selangor.

JAWAPAN: Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa masalah yang dikemukakan di atas adalah berkaitan dengan masalah cerai taklik atau taklik talak.

Ini berdasarkan kepada pesanan si suami yang meminta si isteri memaklumkan kepada sesiapa yang bertanya tentang dirinya (suami) bahawa mereka berdua tidak ada apa-apa hubungan dan telah berpisah (bercerai).

Ungkapan yang digunakan iaitu telah bercerai jika ditanya adalah ungkapan taklik cerai.

Sekiranya si isteri ada menyatakan demikian kepada sesiapa yang bertanya, maka jatuhlah talak dan jika tidak, maka tidak jatuh talak.

SUMBER : Lajnah Fatwa Bil-Azhar As-Shariff

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi