FATWA

Utusan Malaysia 06 April 2001

FATWA AL-AZHAR ONLINE

FATWA 1 : BASMALAH DAN FATIHAH
SOALAN: Apakah hukum tidak membaca basmalah (Bismillahir Rahmanir Rahim) semasa membaca surah al-Fatihah dalam solat?

Ingin penjelasan,

Kuantan, Pahang.

JAWAPAN: Apabila membicarakan hukum bacaan basmalah pada permulaan bacaan surah al-Fatihah dalam solat, ia terbahagi kepada tiga mazhab.

Mazhab pertama mengatakan bahawa ia iaitu bacaan basmalah hanya sekadar pemisah atau perantara di antara satu surah dengan surah yang lain.

Sehubungan itu, mazhab ini berpendapat, ia tidak wajib dibaca mengiringi bacaan al-Fatihah dan solat tetap sah walaupun ia tidak dibaca.

Bahkan mereka berpendapat, makruh membacanya dalam solat fardu, kecuali solat sunat.

Namun, pendapat mazhab pertama ini tidak mempunyai dalil yang kuat untuk menyokongnya.

Mazhab kedua pula berpendapat bahawa basmalah adalah salah satu ayat daripada surah al-Fatihah.

Selain itu, mazhab ini juga berpendapat bahawa ia wajib dibaca mengiringi bacaan al-Fatihah dan tidak sah solat tanpanya.

Hukum bacaannya sama ada secara terang atau sembunyi bergantung kepada bacaan al-Fatihah.

Dalil mazhab ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam an-Nasa'ie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Habban, maksudnya: Aku bersembahyang di belakang Abu Hurairah dan dia membaca Bismillahhir Rahmanir Rahim, kemudian dia membaca Ummul Quran (al-Fatihah).

Pada akhir hadis itu, Abu Hurairah berkata; Dan demi nyawaku di tangannya, sesungguhnya aku menyerupakan kepada kamu solat Rasulullah s.a.w.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, hadis ini adalah yang paling sahih diriwayatkan berkaitan dengan basmalah.

Sementara itu, mazhab ketiga pula berpendapat, bacaan basmalah mengiringi al-Fatihah hukumnya harus, bahkan disunatkan.

Dengan kata lain, ia tidak wajib dan sah solat jika tidak membacanya. Dalam pada itu, mazhab ini juga berpendapat, basmalah tidak dibaca secara terang, sebaliknya dibaca secara senyap.

Dalil bagi mazhab ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasaie dan Ibn Habban bahawa Anas bin Malik berkata: Aku bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w, Abu Bakar As-Siddiq, Umar dan Othman dan sesungguhnya kesemua mereka tidak membaca basmallah secara terang (nyata).

Kesimpulannya, boleh dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w kadang-kadang membacanya secara terang dan kadang-kadang membacanya secara sembunyi (senyap).

Memandangkan perkara ini adalah perkara khilaf (yang menjadi perselisihan antara ulama), maka kita tidak harus taksub dengan mana-mana pandangan. Saya berpendapat, membacanya boleh memberi manfaat serta tidak memudaratkan, di samping tidak batal sembahyang jika tidak membacanya.

SUMBER : Sheikh Atiyya Saqr, Ketua Lujnah

Fatwa Al-Azhar As-Shariff.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi