FATWA

Utusan Malaysia 20 April 2001

Fatwa Al-Azhar

FATWA 1 : PELANCONGAN DALAM ISLAM
SOALAN:Apa pendirian Islam berkaitan pelancongan yang menjadi salah satu sumber penting pendapatan sesebuah negara?

Anak Watan,
Pulau Pinang.

JAWAPAN: Melancong iaitu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk melihat apa yang ada di tempat tersebut seperti kesan-kesan peninggalan sejarah atau untuk bersiar-siar dan menikmati pemandangan dan keindahan suatu tempat adalah sesuatu yang tidak dilarang dalam Islam.

Bahkan ajaran Islam menyuruh penganutnya melancong lebih-lebih lagi sekiranya ia mempunyai tujuan yang mulia. Al-Quran sendiri banyak mengandungi ayat-ayat yang menyeru manusia supaya berjalan-jalan di atas muka bumi bagi mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku kepada umat terdahulu.

Antara ayat tersebut ialah firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad, ayat 10 yang bermaksud : Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.

Firman-Nya lagi dalam surah al-Naml, ayat 69, maksudnya : Katakanlah, berjalanlah kamu di muka bumi lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.

Ibadat haji sendiri, selain sebagai satu ibadat wajib, ia juga merupakan satu bentuk pelancongan agama. Pengembaraan ke Masjid al-Haram di Mekah, kemudian ke Masjid Nabawi di Madinah dan seterusnya ke Masjid al-Aqsa di Syam (Palestin) untuk beribadat serta menambahkan ganjaran pahala adalah suatu perbuatan yang digalakkan sebagaimana disebut dalam sebuah hadis sahih.

Dalam pada itu, tidak syak lagi, negara-negara yang menerima para pelancong mendapat faedah yang banyak sama ada dari segi kebendaan atau kebudayaan. Ekoran itu, negara-negara terbabit berusaha untuk menarik pelancong-pelancong supaya datang ke negara mereka.

Hakikat ini disaksikan sendiri oleh al-Quran dalam surah Ibrahim, ayat 37, maksudnya : Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman-tanaman dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami, (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat maka jadiknalah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Sehubungan itu, Allah menyuruhnya menyeru manusia mengerjakan haji di Baitullah dan seruannya itu mendapat sambutan dari seluruh pelusuk dunia. Ekoran itu, tempat tersebut mulai berkembang maju dan makmur.

Pendapatan yang diperoleh menerusi pelancongan adalah halal selagi tidak ada kemudaratan sama ada kemudaratan itu datangnya daripada pelancong atau dari tempat yang dikunjungi dan sama ada ia berbentuk harta benda atau kebudayaan.

Ini kerana, kemungkinan ada di antara pelancong yang datang adalah perisik atau penyebar pemikiran atau aliran yang ingin disebarkan di negara yang dilawati.

Dalam keadaan ini, umat Islam wajib menegah berlakunya kemudaratan tersebut kerana antara kaedah perundangan Islam ialah menolak kerosakan didahulukan daripada mencari kebaikan.

Kesimpulannya, wajib diwujudkan undang-undang bagi menyusun aktviti pelancongan untuk mencegah daripada berlakunya kemudaratan dan keburukan, di samping berharap akan ada di sebaliknya kebaikan dan keuntungan.

SUMBER: Syeikh Atiyya Saqr, Ketua Lajnah Fatwa di Al-Azhar As-Shariff.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi