FATWA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Fatwa Al-Azhar Online

FATWA 1: TARIKH MASIHI DAN HIJRAH.
SOALAN: Apakah pandangan agama berhubung tindakan negara-negara Islam yang menggunakan tarikh Masihi dan tidak menggunakan tarikh Hijrah dalam urusan dalaman dan luaran negara?

Ingin tahu,
Rawang, Selangor.

JAWAPAN: Islam tidak melarang atau menghalang penggunaan tarikh atau kalendar Masihi lebih-lebih lagi apabila penggunaannya bertaraf antarabangsa.

Begitu juga jika ia digunakan untuk urusan-urusan yang ditentukan dengan masa yang tetap dan tidak berubah-ubah, yang tidak sesuai menggunakan tarikh Hijrah.

Ini kerana, penentuan tarikh atau kalendar Hijrah bergantung kepada nampak atau tidaknya anak bulan (hilal) menerusi rukyah.

Kita sendiri dapat lihat berlakunya perbezaan pendapat berhubung penggunaan tarikh Hijrah ini. Misalnya, kita menjangkakan bahawa awal bulan akan jatuh pada hari Selasa, namun, setelah mengikut rukyah pada akhir bulan, tarikh awal bulan seterusnya jatuh pada hari Isnin.

Perbezaan ini secara tidak langsung akan menimbulkan kesulitan dalam urusan-urusan yang ditentukan dengan kiraan yang tepat dari segi masa dan waktunya.

Tambahan, kalendar Masihi adalah peraturan dunia yang tidak salah bagi orang Islam menggunakannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya kamu lebih mengetahui tentang urusan-urusan duniamu.

Dalam pada itu, kita harus berhati-hati dan memelihara kalendar Hijrah yang banyak berhubung kait dengan ibadat-ibadat utama seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya.

Cara terbaik ialah dengan mengingati kedua-dua tarikh (Masihi dan Hijrah) supaya kita tidak akan lupa akan kehormatan dan kesucian kalendar umat Islam.

FATWA 2: AKAD SEWA.
SOALAN:
1. Apakah hukum agama tentang akad sewa yang berlanjutan sehingga bertahun-tahun.
2. Apakah hukum seorang penyewa memberi sewa barangan yang disewanya kepada orang lain dengan harga yang berlipat kali ganda daripada harga sewa yang dimeterai dengan pemilik asal barangan tersebut?

Anak Jati,
KB, Kelantan.

JAWAPAN:
1. Akad sewa bagi rumah atau tanah atau apa-apa saja berakhir sebaik sahaja tempoh atau tugasan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak iaitu penyewa dan pemilik berkenaan tamat.

Apabila tamat sahaja tempoh atau tugasan tersebut, maka barang yang disewa wajib dipulangkan kepada pemiliknya dan haram ke atas penyewa mengeksploitasi atau menahannya untuk suatu tempoh tertentu.

2. Dalam tempoh penyewaan yang dipersetujui, penyewa boleh menyewakan barang yang disewa kepada orang lain kerana dia memiliki manfaat daripada barang tersebut.

Sehubungan itu, penyewa pertama berhak menguruskan barang sewaan itu bagi mendapatkan faedah dan manfaat daripadanya.

Namun, ia disertakan dengan syarat iaitu tidak mendatangkan kerosakan kepada barangan tersebut dan tidak ada perjanjian antara penyewa pertama dan pemilik yang melarang penyewa pertama berbuat demikian.

Dalam pada itu, sekiranya penyewa menahan barang yang disewa dengan tidak menyerahkan kepada pemiliknya (setelah habis tempoh sewaan), maka segala hasil dan manfaat yang diperoleh daripada barangan tersebut adalah haram.

Ini kerana, dalam Islam tidak ada akad sewa sesuatu barang untuk selama-lamanya walaupun sekiranya ia dibenarkan oleh undang-undang.

SUMBER : Syeikh Atiyya Saqr, Ketua Lajnah Fatwa di Al-Azhar As-Shariff.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi