FATWA

Utusan Malaysia 4 Mei 2001

Fatwa Al-Azhar Online

FATWA 1 : HARTA HARAM?
SOALAN: Arwah bapa saya meninggalkan kepada kami sekeluarga sebidang tanah dan sebuah pangsapuri. Sepanjang hidupnya, bapa saya kadang-kadang berurusan secara riba dan mengambil rasuah. Persoalannya, adakah harta pusaka yang ditinggalkan kepada kami itu halal atau haram?

KELIRU,
Ipoh, Perak.

JAWAPAN: Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin (jilid kedua, muka surat 115) berkata : ``Seorang lelaki yang mewarisi harta sedangkan dia tidak mengetahui sama ada orang yang mewariskan harta itu mendapatnya daripada sumber halal atau haram serta tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan tentang perkara itu, maka ia halal menurut ijmak ulama.

Sekiranya dia (pewaris) mengetahui bahawa di dalam harta peninggalan itu sesuatu yang haram tetapi ragu-ragu tentang kadarnya, maka hendaklah dia mengeluarkan bahagian harta haram itu menerusi penelitian (pemeriksaan) dan ijtihad.

Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, semua itu tidak perlu dilakukan oleh pewaris kerana dosa ditanggung oleh orang mewariskan harta tersebut.

FATWA 2 : PENAMAAN MASJID
SOALAN:
Apakah hukum menamakan masjid-masjid dengan nama sesetengah pemimpin, orang-orang kaya atau orang-orang ternama yang bersama-sama menyumbang untuk pembinaannya.

Ingin tahu,
Seremban, Negeri Sembilan.

JAWAPAN:
Tidak ada halangan menamakan masjid dengan nama-nama manusia seperti pemimpin, orang kaya atau selainnya yang mungkin juga tidak terlibat dengan pembinaannya.

Perbuatan itu dikira bertujuan mengabadikan nama seseorang alim ulama atau pemimpin yang terlibat dalam pembinaan masjid tersebut.

Malah, mengabadikan nama seseorang dengan dinisbahkan kepada masjid juga tidak ada halangan sekiranya orang tersebut berhak menerimanya dan sekiranya mereka yang berbuat demikian berniat baik.

Dari segi meletakkan nama seseorang di masjid yang dibina olehnya, ia bergantung kepada niat di sebalik perbuatan itu.

Sekiranya perbuatan itu bertujuan hanya sekadar untuk membezakannya dengan orang lain, memudahkan untuk orang mengenalinya atau sebagai satu prosedur biasa, maka ia tidak dilarang oleh agama.

Namun, perbuatan itu ditegah keras sekiranya niat di sebalik perbuatan itu adalah untuk menunjuk-nunjuk dan riak.

Ini kerana, banyak nas-nas yang mewajibkan keikhlasan kerana Allah dan mengharamkan riak dalam setiap perbuatan dan amalan.

Antara nas tersebut ialah sebuah hadis yang masyhur (maksudnya): Sesungguhnya setiap amalan itu adalah (dinilai) dengan niat.

Malah, pujian dan penghormatan patut diberikan sekiranya tujuan di sebalik penamaan masjid dengan nama seseorang itu adalah bagi membangkitkan semangat dalam diri orang-orang yang berkemampuan untuk membina tempat-tempat ibadat (masjid) yang sepertinya.

Para sahabat Rasulullah s.a.w sendiri berlumba-lumba untuk membiayai peperangan `Usrah dan sesetengahnya cuba menjadikan bahagian mereka adalah yang paling banyak.

Keadaan seperti ini diterangkan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud: Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka itu (menyembunyikannya) lebih baik bagi mu.

SUMBER: Sheikh Atiyya Saqr, Ketua Lajnah Fatwa di Al-Azhar As-Shariff.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi