FATWA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Fatwa Al-Azhar Online

FATWA 1 : NAFKAH IBU BAPA
SOALAN: Seorang bapa menggunakan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya engkau dan harta engkau adalah untuk bapamu,'' untuk meminta sebahagian besar pendapatan anaknya pada setiap bulan. Apa pandangan agama berkaitan perkara ini?

Anak taat,
Kluang, Johor.

JAWAPAN: Sesungguhnya kejahilan dengan ajaran agama yang betul banyak membawa kepada berlakunya penyelewengan. Begitu juga dengan sifat tamak yang boleh membawa kepada penindasan, selain melemahkan semangat persaudaraan dan menimbulkan sikap mementingkan diri sendiri.

Para ulama ketika mengulas mengenai gambaran seorang anak berbuat baik kepada ibu bapa berkata: ``(Seorang anak) tidak dapat tidak (mesti) memberi perbelanjaan atau nafkah kepada keduanya dengan kadar belanja yang bersesuaian dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

Semua itu dilakukan dengan syarat ia di bawah kemampuan si anak serta tidak memudaratkannya dengan kemudaratan yang jelas.

Sememangnya ibu bapa dibenarkan mengambil harta anaknya bagi memenuhi hajat dan keperluan mereka tetapi dengan syarat ia tidak memudaratkan anak berkenaan.

Misalnya, tindakan ibu bapa yang mengambil harta si anak lebih daripada keperluan mereka sehingga menyebabkan si anak tidak dapat memenuhi keperluan dan hajatnya sendiri. Dalam keadaan ini, si anak dibenarkan memberikan ibu bapanya perbelanjaan dengan kadar yang mencukupi bagi keduanya dan menyimpan selebihnya untuk diri dan keluarganya sendiri.''

Imam Baihaqi menceritakan dari Qais bin Abi Hazim yang berkata: ``Datang seorang lelaki kepada Abu Bakar r.a dan berkata; Bapaku ingin mengambil kesemua hartaku bagi memenuhi keperluannya, hingga tidak meninggalkan sedikit pun untuk diriku.''

Abu Bakar kemudiannya berkata kepada si bapa: ``Sesungguhnya (dibenarkan) bagi engkau daripada hartanya sekadar yang mencukupi engkau.''

Berkata bapanya; ``Wahai khalifah Rasulullah, bukankah Rasulullah s.a.w telah bersabda (Engkau dan harta engkau adalah untuk bapamu). Abu Bakar berkata: Memang benar, tetapi sesungguhnya apa yang dimaksudkan itu ialah nafkah.''

FATWA 2 : IJTIHAD
SOALAN:
1. Apa sebenarnya yang dimaksud dengan ijtihad ?
2. Dalam hal-hal bagaimana kita dibolehkan berijtihad?

Ingin tahu,
Selayang, Selangor.

JAWAPAN: 1. Ijtihad berasal dari bahasa Arab `jahada' iaitu mencurahkan segala kemampuan atau memikul beban. Dalam istilah syarak, ijtihad secara umum bermakna usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan seorang mujtahid untuk mencapai suatu keputusan syarak (hukum Islam) tentang kes-kes yang penyelesaiannya belum tertera dalam al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w.

Antara dalilnya ialah ayat 59 dari surah an-Nisa', maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di kalangan kamu. Sekiranya kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

2. Ijtihad boleh dilakukan oleh Mujtahid kecuali dalam hal-hal berikut:

i. Akidah iaitu yang berkaitan dengan persoalan tauhid dan keimanan.

ii. Perkara yang terkandung dalam kategori maklum minad din bidh-dharurah seperti mengapa wukuf harus di padang Arafah dan puasa di bulan Ramadan, kenapa tidak pada tempat atau waktu lain.

iii. Nas yang mengandungi hukum qat'ie (tetap) seperti kewajipan menunaikan solat.

iv. Perkara yang sudah menjadi ijmak (disepakati) ulama.

Selain perkara-perkara tersebut, pintu ijtihad masih terbuka luas bagi para mujtahidin.

SUMBER: Sheikh Atiyya Saqr, Ketua Lajnah Fatwa

di Al-Azhar As-Shariff.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi