JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 01 April 2002

RM5j lesap penganjur skim cepat kaya hilangkan diri

Oleh:SITI MARIAM MD. ZAIN
ALOR SETAR 31 Mac - Lebih RM5 juta dipercayai lesap apabila penganjur skim cepat kaya melalui perniagaan jualan langsung produk ginseng yang bergerak cergas di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menghilangkan diri baru-baru ini.

Sindiket itu dianggotai oleh seorang wanita pemilik kedai fotostat berusia 40 tahun dan seorang lelaki berumur 28 tahun yang bekerja dengan syarikat insurans.

Mereka dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.

Kedua-dua mereka bergiat cergas di beberapa negeri di utara Semenanjung sejak setahun yang lalu.

Ketua Pusat Khidmat MCA Bahagian Alor Setar, Datuk Chong Itt Chew memberitahu, perkara itu telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung yang meminta supaya pelabur yang tertipu itu membuat laporan polis.

``Mereka perlu membuat laporan segera untuk memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut,'' kata Chong pada sidang akhbar yang dihadiri oleh 20 orang mangsa skim tersebut di Wisma MCA di sini, hari ini.

Chong menyatakan, setakat ini, hanya satu laporan telah dibuat iaitu pada 26 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit ialah mempengaruhi pelanggan melalui pelaburan dalam perniagaan jualan secara langsung produk ginseng yang diimport dari China.

``Dengan pelaburan satu lot iaitu sebanyak RM8,000, pelanggan dijanjikan akan menerima pulangan modal dan keuntungan sehingga RM30,000 dalam tempoh enam bulan.

``Mangsa kebanyakannya adalah pemilik serta pekerja pusat kecantikan dan salun rambut yang terdapat di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,'' jelasnya.

Salah seorang mangsa daripada Pulau Pinang, Joey Lai, 39, berkata, dia melabur sebanyak lima lot atau RM40,000 dalam skim itu kerana yakin akan mendapat pulangan yang besar dalam tempoh singkat.

``Bagaimanapun, saya hanya menerima pulangan di peringkat awal sebanyak RM18,000. Saya menyedari ditipu apabila seorang rakan dari Alor Setar menelefon minggu lalu mengatakan dia tidak menerima keuntungan yang dijanjikan walaupun telah tamat tempoh,'' katanya.

Seorang lagi mangsa yang mengakui mengenali penganjur skim itu, Yeoh Swee Sian, 40, memberitahu, dia tidak sangka rakannya itu tergamak memperdayakan orang ramai.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi