JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 08 April 2002

NGO sokong hukuman berat -- Keputusan kerajaan dianggap tepat ekoran kes sumbang mahram meningkat

KUALA LUMPUR 7 April - Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan menyokong penuh langkah kerajaan untuk mengkaji semula Kanun Keseksaan bagi memastikan hukuman sebat serta hukuman minimum lebih berat ke atas pesalah sumbang mahram.

Mereka berpendapat, keputusan kerajaan itu kena pada masanya memandangkan kes-kes sumbang mahram dilaporkan semakin meningkat di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Ramani Gurusamy berkata, pihaknya telah membuat gesaan serupa itu sejak 1986 supaya hukuman berat dikenakan terhadap pesalah sumbang mahram.

``Hukuman lebih berat bukan sahaja dapat memberi kesedaran kepada pesalah malah dapat menghapuskan trauma ibu dan mangsa yang terlibat,'' katanya kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu, hari ini.

Laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini menyebut Abdullah sebagai berkata, Kanun Keseksaan akan dikaji semula bagi memastikan setiap pesalah sumbang mahram wajib dikenakan hukuman sebat selain penjara minimum yang lebih berat.

Abdullah juga mahu kajian tersebut melibatkan hukuman yang lebih keras kepada mereka yang melakukan kesalahan merogol gadis di bawah umur.

Beliau menegaskan bahawa hukuman lebih berat perlu bagi menunjukkan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur terhadap pelaku jenayah keji itu, sekalipun pindaan Kanun Keseksaan baru diluluskan bagi mengenai hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan terhadap kesalahan sumbang mahram.

Ramani menarik perhatian bagaimana dalam kes-kes tertentu jenayah sumbang mahram terpaksa disembunyikan bertahun-tahun daripada pengetahuan pihak berkuasa hanya semata-mata kerana isteri takut hilang tempat bergantung.

Sementara anak yang menjadi mangsa pula, kata beliau, terpaksa menanggung tekanan psikologi yang hebat sehingga meningkat dewasa jika perbuatan jenayah oleh kaum keluarga terus menjadi rahsia.

Ketua Penaja Puteri UMNO, Azalina Othman Said pula menggesa agar pindaan Kanun Keseksaan dilakukan secepat mungkin demi masa depan mangsa.

Beliau yang menyifatkan perbuatan sumbang mahram cerita lama tetapi tidak pernah basi, juga mahu kerajaan menjalankan satu kajian menyeluruh khususnya dari segi budaya mengenai mengapa perbuatan sebegitu masih banyak berlaku.

``Saya dapati didikan agama masih belum cukup untuk mengelak seseorang daripada melakukan perkara terkutuk itu dan satu-satunya harapan ialah menjatuhkan hukuman yang lebih berat lagi,'' katanya.

Timbalan Pengerusi Biro Strategik dan Undang-Undang Wanita MCA Wilayah Persekutuan, Tai Sim Yew pula berkata, perbuatan merogol anak sendiri adalah sesuatu yang sangat keji dan langkah untuk meningkatkan hukuman ke atas pesalah amat dialu-alukan.

``Malah, jika perlu, disebabkan pesalah-pesalah sering mengulangi perbuatan mereka, kami mencadangkan teknik pengembirian dikenakan ke atas mereka yang terbabit,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan ketika mengalu-alukan langkah itu berkata, hukuman yang lebih berat patut dikenakan terhadap pesalah kes itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat betapa kejinya perbuatan itu.

Hamdan yang juga Pesuruhjaya Suhakam berkata, selain itu pendekatan lain termasuk memberikan kaunseling terhadap bekas pesalah kes itu perlu dilakukan supaya mereka tidak kembali melakukan perbuatan yang sama.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Othman berkata, kajian itu perlu segera dilaksanakan memandangkan kejadian sumbang mahram dan rogol semakin menjadi-jadi.

Beliau turut mencadangkan pesalah kes itu dihukum penjara minimum 10 tahun serta tambahan hukuman sebat mengikut jenis kesalahan.

``Selain daripada hukuman yang berat, kita perlu menekankan kepada pendidikan keluarga secara berterusan,'' katanya.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Datuk Lee Lam Thye pula berkata, peningkatan sebanyak 1,354 kes rogol dalam tahun 2001 berbanding 1,210 kes pada tahun 2000 menunjukkan kejadian itu semakin serius. Ia juga meningkat dalam kes sumbang mahram.

``Oleh itu, YPJM mencadangkan hukuman minimum bagi pelaku sumbang mahram dan kesalahan rogol ditambah menjadi 10 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 10 kali,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi