JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 09 April 2002

Lelaki tuntut hutang mati ditetak di depan isteri

JOHOR BAHARU 8 April - Seorang wanita menyaksikan suaminya, seorang pengutip hutang, ditetak hingga mati oleh seorang peminjam yang enggan membayar RM500 dalam satu kejadian di Taman Johor Jaya, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Daerah Polis Johor Baharu (Zon Timur) Supritendan Idris Ismail berkata kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah hari apabila Lim Kim Teng dan isterinya pergi ke rumah lelaki itu di Jalan Seroja 10 di taman itu untuk mengutip hutang.

"Mangsa mahu mengutip wang yang dipinjam lelaki itu berjumlah RM500," katanya apabila dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Idris semasa Lim meminta lelaki itu membayar hutangnya, isteri Lim menunggu di dalam kereta yang diletak berdekatan rumah lelaki itu.

Perbincangan antara Lim dan lelaki itu bertukar menjadi pertengkaran dan tiba-tiba, lelaki itu mengeluarkan sebelah pisau ala Rambo dan menyerang Lim.

Lim cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap lelaki itu yang kemudian menetak muka dan lehernya.

Lim rebah ke jalan dengan darah banyak mengalir dari mukanya manakala lelaki itu melarikan diri.

"Isteri mangsa, yang masih berada di dalam kereta, menyaksikan kejadian itu yang berlaku kira-kira 20 meter dari kereta itu," kata Idris.

Isteri Lim kemudian membawanya ke klinik berhampiran tetapi dia disahkan meninggal dunia apabila tiba di klinik itu.

Mayat Lim dihantar ke Hopital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.

Idris berkata polis sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Ng Thiam Poi, 34, pemegang kad pengenalan A1189807.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi balai polis Plentong di talian 07-3873122 atau balai polis berdekatan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi