JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 09 April 2002

Polis bongkar sindiket curi jentera berat

KUALA LUMPUR 8 April - Polis membongkar sindiket mencuri jentera berat dengan tertangkapnya empat lelaki dan menemui semula sembilan jentera berat serta sebuah jip di tapak pembinaan Pekan Sekakap, Mersing, Johor, Khamis lalu.

Sindiket itu berjaya dikesan dalam Ops Cobra oleh pasukan khas yang dibentuk untuk mengesan sindiket mencuri kenderaan yang berleluasa di negara ini.

Semua jentera berat yang dirampas semula itu bernilai RM4.3 juta dan empat lelaki yang ditangkap termasuk dua orang pekerja di tapak projek berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Som berkata, polis percaya empat lelaki terbabit mempunyai kaitan dengan sindiket yang aktif mencuri kenderaan berat.

``Kita sedang menyoal siasat empat lelaki ini dan percaya dalam sedikit masa lagi kita akan membongkarkan rangkaian operasi sindiket itu dan dalangnya,'' jelas beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Empat lelaki berusia 29 hingga 46 tahun itu telah ditahan reman. Dua daripada mereka ditangkap di Port Dickson, Negeri Sembilan selepas tangkapan pertama melibatkan penyelia tapak projek dan pekerja sub kontraktor.

Menurut beliau, jentera berat yang dirampas itu melibatkan dua buah jentera pengaut tanah Komatsu jenis PC300, dua buah jentera pengaut tanah Hitachi jenis EX200 dan EX300 serta sebuah jentera pengaut tanah Kobelko jenis SK300111.

Selain itu, dua buah jentera penggiling jalan, sebuah model Dynapac dan sebuah lagi model Sakai SV500, dua buah jentolak sebuah daripada model Komatsu dan sebuah lagi model Komatsu Cawler Tractor.

Sebuah kenderaan iaitu jip Suzuki yang dicuri juga ditemui di tapak projek berkenaan.

Salleh berkata, setakat ini polis belum mengetahui dengan jelas modus operandi yang digunakan oleh sindiket mencuri kenderaan berat.

Bagaimanapun, ujar beliau, siasatan awal polis mendapati semua kenderaan berat yang ditemui semula itu telah ditukar nombor chasisnya.

``Kita telah menghantar pasukan dari Makmal Forensik Jabatan Siasatan Jenayah untuk mengesah kenderaan itu telah dicuri,'' jelas Salleh.

Beliau memberitahu, dengan pembongkaran ini mendedahkan bahawa terdapat kontraktor-kontraktor pembinaan yang mengendalikan projek gergasi menggunakan jentera-jentera berat yang dicuri.

``Polis tidak akan membiarkan gejala ini berleluasa, dan akan menyiasatnya sehingga ke akar umbi,'' tegasnya.

Sementara itu, Salleh berkata, lanjutan daripada Ops Cobra yang dilancarkan untuk mengesan kenderaan curi sejak awal tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan dua sindiket curi kenderaan utama yang bergerak aktif di negara ini.

Salah satu sindiket yang dilumpuhkan melibatkan sindiket mencuri kereta jenis Proton Perdana V6, Proton Wira, Waja, Putra dan Perodua Kancil yang bergerak aktif di Lembah Klang.

Menurut beliau, polis telah memberkas 12 orang ahli sindiket, termasuk ketuanya dan menemui semula 15 buah kereta pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Sindiket yang dipercayai telah bergerak sejak dua tahun lalu dipercayai telah mencuri sekurang-kurangnya 70 buah kereta.

Jelas Salleh, polis turut merampas kunci kereta Proton dan besi pengikir yang digunakan untuk mencuri kenderaan.

Salleh menambah satu lagi sindiket yang dilumpuhkan ialah sindiket yang bergerak aktif di Lembah Klang, Pahang dan Kelantan.

Polis telah memberkas tujuh ahlinya termasuk seorang wanita.

Salleh memberitahu, hasil siasatan ke atas mereka, polis menjumpai semula 14 buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi