JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 09 April 2002

Tindakan ke atas pemilik premis bersubahat

KUALA LUMPUR 8 April - Pemilik-pemilik premis persendirian atau awam yang didapati bersubahat membenarkan pendatang tanpa izin berada di dalam premis mereka boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Imigresen (Pindaan 2002).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, tindakan boleh dikenakan jika pendatang tanpa izin berkenaan dijumpai di kawasan tertentu seperti ruang tidur atau pejabat di premis berkenaan.

``Mana-mana pendatang tanpa izin yang dijumpai di tempat awam seperti restoran, stesen LRT, bas dan sebagainya, tuan punya tempat itu tidak dianggap melakukan kesalahan.

``Bagaimanapun, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bersubahat sebagai contoh di restoran. Sekiranya pendatang tanpa izin dijumpai di dalam ruang tidur, pejabat atau sebagainya, maka tuan punya sesuatu premis itu boleh di kenakan tindakan,'' katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Imigresen (Pindaan 2002) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu beliau berkata, pemilik rumah atau bilik sewa juga boleh dianggap bersubahat apabila penyewa membawa masuk pendatang tanpa izin tinggal di premis berkenaan.

``Mengikut pindaan ini, pemilik rumah sewa juga akan dikenakan tindakan walaupun sebenarnya penyewa yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang tanpa izin ke dalam premis tersebut.

``Oleh itu, pemilik rumah sewa perlu memastikan siapakah yang tinggal di dalam rumah miliknya itu kerana kita tidak mahu masing-masing lepas tangan,'' ujarnya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, secara umumnya setiap penangkapan dan pendakwaan yang dibuat adalah berdasarkan bukti yang kukuh dan setiap penafian atau pembelaan mesti disertakan bukti yang kukuh juga.

Mengenai cadangan Mohamad Sabu (Pas-Kuala Kedah) supaya depot tahanan imigresen diuruskan oleh Jabatan Penjara, beliau berkata, kerajaan sudah mengkaji perkara tersebut dan sebagai permulaan Depot Tahanan Imigresen Ajil, Terengganu telah dijadikan projek perintis untuk ditadbir oleh jabatan berkenaan mulai 1 Jun ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan merasakan 15 depot tahanan imigresen yang ada di seluruh negara adalah mencukupi kerana jumlah pendatang izin yang ditahan di setiap depot sentiasa berubah dengan purata penghantaran pulang seramai 400 hingga 600 orang setiap hari mulai tahun ini.

``Kapasiti maksimum pendatang tanpa izin yang ditahan pada satu-satu masa ialah 12,000 orang.

``Bagaimanapun pada masa-masa tertentu berlaku sedikit kesesakan namun tempohnya tidak lama selepas tindakan penghantaran pulang dibuat,'' katanya sambil menambah sehingga 2 April lalu seramai 4,867 pendatang ditahan di depot imigresen di seluruh negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi