Make your own free website on Tripod.com

JENAYAH & KEMALANGAN

Berita Harian 10 April 2001

Hakim syor gubal undang-undang sumbang muhrim


KUALA LUMPUR, Selasa – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Ismail mencadangkan pihak berkuasa menggubal undang-undang khas untuk kesalahan sumbang muhrim bagi menghukum mereka yang terbabit dengan kesalahan itu.

Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini perbuatan sumbang muhrim kerap berlaku dan satu hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

“Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengadakan peruntukan berasingan dalam kanun keseksaan bagi kesalahan sumbang muhrim kerana tidak ada undang-undang seumpama itu kini,” katanya ketika mempengerusikan persidangan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Shaik Daud yang bersidang bersama Hakim Denis Ong dan Datuk Mohd Saari Yusoff, mendengar rayuan seorang bapa berusia 50 tahun yang menghadapi tuduhan merogol anaknya dua kali iaitu ketika berumur 13 tahun dan 22 tahun.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman lebih berat ke atas penjenayah seks, termasuk sumbang muhrim di negara ini.

Katanya, hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah seks ketika ini kadangkala tidak setimpal dengan perbuatan keji dan terkutuk yang mereka lakukan.

Sebagai contoh, seorang bapa dijatuhi hukuman enam tahun penjara baru-baru ini setelah didapati bersalah melakukan sumbang muhrim ke atas anak perempuan sendiri yang berusia enam tahun.

Beliau menyifatkan hukuman itu terlalu ringan berbanding jenayah yang dilakukan kerana berdasarkan undang-undang sedia ada, hukuman maksimum terhadap kesalahan merogol adalah 20 tahun penjara dan sebat.

Katanya, hukuman lebih berat wajar dikenakan bagi membendung penjenayah seks dan kejadian haruan makan anak daripada terus menular di kalangan masyarakat negara ini.

Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pengawal keselamatan, Amir Hamzah Ibrahim yang merayu terhadap hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah dua tuduhan merogol anak perempuannya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuannya mengurangkan hukuman sebatan kepada satu sebatan bagi setiap tuduhan atas alasan Hakim Mahkamah Tinggi tidak memberi peluang kepada Amir Hamzah untuk bercakap ketika meminda hukuman itu.

Shaik Daud berkata, mahkamah tidak ingin mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Amir Hamzah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Januari 1995 atas dua tuduhan merogol anaknya dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan setiap tuduhan. Hukuman penjara itu berjalan berturut-turut.

Pada 1 September 1995, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara itu tetapi menambah hukuman sebatan kepada tiga bagi setiap tuduhan.

Bagi tuduhan pertama, Amir Hamzah dituduh merogol anaknya yang ketika itu berusia 13 tahun di kilang besi Sin Loong Seng di Batu 4 1/2, Jalan Sungai Besi di sini, pada jam 12 hingga 5 pagi, 24 Oktober 1985.

Tuduhan kedua pula, dia didapati bersalah merogol anaknya yang ketika itu berusia 22 tahun di rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Besi di sini, pada jam 7 pagi, 15 Mei 1994.

Amir Hamzah diwakili peguam Karpal Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Daud dan B K Chan mewakili pendakwaraya dalam prosiding hari ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi