Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Ibu, anak dijumpai mati dikelar

SEKINCHAN 21 Mei - Seorang ibu bersama anak perempuannya dijumpai mati berlumuran darah di rumah mereka di Jalan Dua, Taman Aman Jaya di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Mohmad Salleh memberitahu, ibu tersebut, Tan Ah La, 30, dan anaknya, Chia Sin Yee, 2, dijumpai mati di atas katil berasingan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Beliau berkata, Tan ditemui mati di atas katilnya manakala anaknya, Chia ditemui mati atas katil kanak-kanak di dalam bilik tidur yang sama.

Menurutnya, ketika ditemui, leher kedua-dua mangsa terdapat kesan kelar dengan senjata tajam dan terdapat juga kesan tikaman di dada dan perut Tan.

``Polis percaya kedua-dua mangsa mati dibunuh dan siasatan terperinci mengenainya sedang dijalankan.

``Polis turut menemui sebilah pisau pemotong sayur, parang pemotong daging dan sebilah parang panjang di ruang tamu rumah berkenaan,'' katanya di sini hari ini.

Sebelum kejadian kata Mohmad, suami mangsa, Chia Chun Chai, 34, seorang peniaga Ayamas dikatakan keluar rumah kira-kira pukul 12.30 tengah malam untuk pergi menemui rakannya di pekan Sekinchan.

``Apabila pulang, Chun Chai terkejut mendapati isteri serta anak perempuannya berlumuran darah di atas katil di bilik utama rumah berkenaan.

``Bagaimanapun empat lagi anak lelaki Chun Chai yang berusia antara 4 hingga 10 tahun tidak diapa-apakan dan didapati nyenyak tidur di bilik lain,'' katanya.

Ekoran kejadian itu, beliau berkata, polis mendapati seorang pembantu lelaki kepada Chun Chai yang berusia 15 tahun dan berasal dari Sabah telah menghilang diri.

Pembantu berkenaan tinggal serumah dengan keluarga mangsa dan sejumlah wang kira-kira RM3,000 dipercayai turut lesap.

Difahamkan pekerja yang menghilangkan diri itu baru sahaja diambil bekerja kira-kira dua minggu lalu oleh keluarga berkenaan.

Sehubungan itu Mohmad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat seorang remaja keluar rumah awal pagi, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Oleh: ABDUL RAHMAN ANUAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum