Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Wanita nyaris maut digilis tren LRT


SEORANG anggota bomba dan penyelamat membantu seorang jururawat membawa wanita yang cedera ke Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas terjun di atas landasan LRT di Taman Paramount, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA 22 Mei - Seorang wanita nyaris maut digilis tren LRT selepas dia terjun ke landasan tren di stesen Taman Paramount di sini pagi ini.

Wanita yang berusia dalam lingkungan 40 tahun itu bernasib baik kerana tren dari arah Kelana Jaya menuju ke ibu negara itu berhenti secara automatik, hanya kira-kira 15 meter dari tempat mangsa terjun.

Pengarah Urusan Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn. Bhd. Ridza Abdoh Salleh yang ditemui di tempat kejadian berkata, wanita itu terselamat kerana kawasan landasan LRT di semua stesen dipasang dengan sistem anti pencerobohan.

Menurut beliau, daripada rakaman video kamera yang dipasang di stesen itu, wanita berkenaan dilihat seolah-olah terjun ke landasan ketika tren itu hampir tiba.

Bagaimanapun, Ridza memberitahu, tren yang sedang bergerak menuju ke stesen itu berhenti secara automatik selepas mengesan ada halangan di landasan.

Pihak keselamatan stesen itu telah meminta bantuan bomba untuk mengangkat wanita yang cedera di bahagian leher untuk dibawa keluar dari kawasan landasan.

Wanita yang tinggal di SS14/60, Kelana Jaya kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan.

Semasa kejadian, wanita itu tidak membawa kad pengenalannya, tetapi berdasarkan beberapa dokumen perubatan dalam beg tangannya, wanita itu dipercayai bernama Leong Ling Siew.

Mengulas lanjut insiden pada pukul 10.30 pagi ini, Ridza berkata, sebarang cubaan untuk membunuh diri di landasan LRT tidak akan berjaya kerana landasan di semua stesen LRT dipasang dengan alat antipencerobohan yang mampu memberhentikan tren secara automatik sekiranya ada halangan.

``Kita percaya sistem ini cukup baik untuk mengelakkan sebarang kecelakaan yang mungkin menimpa penumpang-penumpang lain ketika menunggu ketibaan tren,'' ujarnya.

Ekoran kejadian itu, stesen LRT Taman Paramout terpaksa ditutup hampir satu setengah jam untuk membolehkan kerja-kerja teknikal dilakukan.

Orang ramai yang menunggu menaiki tren itu telah dibawa dengan sebuah bas ke stesen LRT di Asia Jaya di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Senior Asisten Komisioner Sheikh Mustafa Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Oleh: TEON EG

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum