Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Tarikh kuat kuasa kotak hitam tidak berubah

KUALA LUMPUR 24 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan denda sehingga RM1,000 kepada pengusaha bas eskpres dan persiaran bagi setiap bas yang tidak dipasang kotak hitam apabila tarikh kuat kuasa pemasangan bermula 1 September ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Shahar Sidek menegaskan, tempoh pemasangan yang diberikan kepada pengusaha bas terbabit akan berakhir pada 31 Ogos seperti yang telah ditetapkan.

``Namun begitu, kita akan membuat pertimbangan kepada pengusaha bas terbabit jika gagal memasang alat tersebut (dalam tempoh ditetapkan) berdasarkan alasan yang munasabah sahaja,'' katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Baru-baru ini larangan memperbaharui cukai jalan telah dikenakan kepada bas yang tidak memasang kotak hitam, walaupun tarikh pemasangan belum berakhir.

Langkah itu, katanya, sebagai usaha menggalakkan pengusaha bas mematuhi peraturan pemasangan alat berkenaan yang bertujuan merekodkan had kelajuan kenderaan.

Mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik semalam, beliau menjelaskan tiada kekeliruan yang berlaku akibat daripada kenyataan tersebut.

Semalam Utusan melaporkan, Dr. Ling berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai tarikh kuat kuasa pemasangan kotak hitam itu.

Menurut Dr. Shahar, pihak kerajaan sebenarnya tidak mahu kelancaran perkhidmatan awam terganggu hanya kerana isu kotak hitam.

``Menteri dan persatuan terbabit telah maklum mengenai tarikh itu, mereka (pengusaha bas) masih mempunyai masa untuk memasang alat tersebut,'' tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Shahar turut membidas kenyataan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) bahawa sistem kotak hitam tersebut tidak berfungsi.

``Buktikan alat itu rosak, beri pada saya nombor bas terlibat... saya akan arahkan juruteknik kita buat pemeriksaan.

``Tapi jika dakwa secara umum tanpa bukti, susahlah kita,'' tegasnya.

Kelmarin, Pembawa mendakwa hampir semua kotak hitam yang telah dipasang tidak berfungsi.

Persatuan itu turut kesal dengan mutu alat yang mengakibatkan ahli-ahlinya kerugian dengan kos pemasangan RM1,000 setiap satu kotak itu.

Dr. Shahar memberitahu, setakat ini 1,290 daripada 3,797 kenderaan terbabit telah dipasang dengan alat tersebut.

``Saya gembira dengan jumlah itu, ia menunjukkan satu peningkatan yang menggalakkan.

``Dan mereka (pengusaha bas) masih mempunyai masa untuk memasang kotak itu,'' ujarnya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan para pengusaha bas tersebut dan syarikat pembekal, Delcom Services Sdn. Bhd., beliau berkata, ia akan diadakan dengan segera.

Pertemuan itu, katanya, khusus untuk membincangkan dan mencari penyelesaian mengenai segala masalah yang timbul.

``Saya juga akan memantau bahagian teknikal jabatan supaya tempoh pemasangan dibuat dalam masa yang singkat iaitu semasa pemeriksaan berkala oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Beliau menjelaskan, JPJ hanya menjalankan tanggungjawab kepada orang ramai demi untuk memastikan pihak terbabit mementingkan keselamatan penumpang dan kenderaan.

Pada tahun 1998, pemasangan kotak hitam telah dicadangkan akibat peningkatan jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres dan persiaran.

Bermula Mac lalu, kerajaan mengarahkan pemasangannya mengikut Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan, Kelengkapan dan Penggunaan Alat Mengawal Kelajuan) 1998 untuk memastikan pemandu bas mematuhi had laju yang ditetapkan.

Terdahulu, Dr. Shahar menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Standard Automobil Antarabangsa Jepun (JASIC) kali kelima yang disempurnakan oleh Dr. Ling.

Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum