Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Ujian air kencing untuk pemandu terlibat nahas maut

PUTRAJAYA 24 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua pemandu kenderaan terutama kenderaan awam yang terlibat dalam kemalangan maut akan diwajibkan menjalani ujian air kencing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, arahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu diputuskan semalam dan ia akan dikuatkuasakan secepat mungkin.

``Saya sudah mengarahkan pegawai-pegawai berkenaan supaya membuat peraturan itu dengan cepat, lepas itu kita akan kuat kuasakan.

``Saya rasa pihak polis tidak ada masalah. Cuma kita perlu sediakan peralatan yang sesuai dan secukupnya,'' katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KDN kepada 75 penerima di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin dan Datuk Chor Chee Heung, Setiausaha Parlimen KDN, Datuk Seri Abu Zahar Isnin dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Aseh Che Mat.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, bentuk hukuman terhadap mereka yang didapati positif menggunakan dadah dalam ujian air kencing itu akan ditentukan oleh pihak polis.

Katanya, polis akan mengkaji kesalahan-kesalahan yang dilakukan untuk menentukan kategori kesalahan berdasarkan akta-akta berkaitan yang sedia ada.

Beliau berkata, ini termasuklah tindakan menggantung lesen atau larangan memandu seumur hidup.

Bagaimanapun, tegas Abdullah, sekiranya perlu, kerajaan akan meminda akta-akta yang berkaitan supaya pesalah-pesalah menerima hukuman yang setimpal.

``Saya sebenarnya suka jika hukuman yang berat dikenakan terhadap pemandu ini kerana kecuaian mereka telah menyebabkan ramai orang terlibat dalam kemalangan dan terbunuh.

``Hukuman yang dijatuhkan itu harus menjadi pengajaran kepada mereka dan orang lain,'' katanya.

Abdullah berkata, tindakan terbaru itu terpaksa diambil bagi memastikan gejala mengambil dadah sebelum memandu tidak menjadi tabiat di negara ini.

Katanya, kerajaan memandang serius sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab seperti itu kerana mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga orang-orang lain.

Katanya, kajian pihak polis jelas menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor manusia.

Mengenai ujian air kencing semasa memohon lesen, beliau berkata, ia sukar dilaksanakan kerana pemohon lesen terbabit boleh mengambil tindakan `membersihkan' diri mereka sebelum memohon lesen.

``Bila mereka tahu mereka akan memohon lesen, mereka mungkin tidak mengambil dadah untuk mengelakkan dikesan sekiranya ujian dikenakan pada peringkat itu.

``Yang penting ialah mereka yang sudah mendapat lesen dan memandu kereta, bas dan lori ke sana sini setiap hari,'' katanya.

Minggu lalu, polis menahan 1,205 atau 16 peratus daripada 7,000 pemandu bas dan lori dalam operasi bersepadu selama enam hari kerana didapati positif terlibat dengan penggunaan dadah.

Ketua Trafik Persekutuan, Senior Asisten Komisioner II Ahmad Bahrin Idrus berkata, polis mendapati mereka menggunakan pelbagai jenis dadah termasuk ganja, heroin dan pil khayal.

Katanya, kesemua yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Katanya, pemandu yang didapati positif boleh didakwa di bawah Seksyen 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Ahmad Bahrin berkata, secara perbandingan, setiap 10,000 lori yang berdaftar, sejumlah 527.2 terlibat dengan kemalangan manakala setiap 10,000 bas berdaftar, sejumlah 1,985.1 terbabit dengan kemalangan.

Daripada 6,305 mangsa yang terkorban dalam kemalangan maut tahun lalu, sebanyak 1,563 atau 26 peratus daripadanya melibatkan kenderaan komersial.

Oleh: SUNARTI KIBAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum