Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Ibu saman SJMC RM3j dakwa cuai rawat anaknya

SHAH ALAM 25 Mei - Seorang kanak-kanak berusia empat setengah tahun bersama ibunya mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap seorang doktor dan Subang Jaya Medical Centre (SJMC) untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta atas dakwaan cuai ketika merawatnya.

Kanak-kanak tersebut, Muhammad Wazir Rahmat, selaku plaintif pertama mewakilkan ibunya, Haslin Abu Hurairah, 36, yang juga plaintif kedua.

Plaintif memfailkan writ saman itu melalui firma guaman Tetuan S.M. Ideris & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, pagi ini.

Kedua-dua plaintif menamakan Dr. Khoo Phaik Choo sebagai defendan pertama dan SJMC defendan kedua.

Plaintif menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teruk RM1 juta, ganti rugi teladan RM500,000 dan ganti rugi pampasan RM500,000.

Selain itu plaintif menuntut ganti rugi khas, faedah dan kos.

Dalam pernyataan tuntutan menyatakan bahawa pada 16 Disember tahun lalu, Muhammad Wazir dibawa oleh ibunya ke SJMC untuk rawatan bagi penyakit cirit-birit.

Muhammad Wazir yang dirawat oleh Dr. Khoo selepas dimasukkan ke wad buat pertama kalinya, telah disahkan oleh doktor berkenaan hanya menghidap sakit cirit-birit biasa.

Plaintif seterusnya dibenarkan keluar pada keesokannya, walaupun masih mengalami muntah dan cirit-birit.

Selepas keluar wad, Muhammad Wazir masih menderita sakit tanpa mengalami sebarang perubahan positif walaupun dibekalkan oleh defendan kedua dengan pelbagai ubat.

20 Disember tahun lalu, Haslin (plaintif kedua) menerima panggilan telefon daripada Dr. Aishah dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya. Doktor itu memaklumkan kepada Haslin, keputusan ujian makmal mengesahkan Muhammad Wazir menghidap taun.

Haslin yang juga Pengarah SKR Hasmart Fire Fighting (M) Sdn. Bhd., membawa semula Muhammad Wazir ke pusat perubatan itu bagi rawatan lanjut.

Dr. Khoo bagaimanapun dikatakan tanpa sebarang alasan wajar dan munasabah telah melengah-lengahkan rawatan awal tanpa menempatkan Muhammad Wazir dalam wad penjagaannya.

Kanak-kanak itu dibenarkan keluar dari wad pada 24 Disember tahun lalu setelah defendan berpuas hati bahawa dia tidak lagi mengalami sakit taun.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa defendan gagal atau cuai untuk mengambil langkah rawatan pemeriksaan atau rawatan sewajarnya dilakukan oleh seorang pengamal perubatan profesional.

Defendan juga didakwa gagal dan cuai untuk mengenal pasti simptom sebenar yang dijangkiti oleh plaintif sewaktu merawatnya.

Defendan didakwa gagal dan cuai untuk memaklumkan dan memberikan nasihat sewajarnya atas hubungan doktor dan pesakit.

Akibatnya, plaintif pertama didakwa mengalami kesakitan dan penderitaan berpanjangan serta pemakanan tidak teratur.

Plaintif kedua mendakwa mengalami kemerosotan perniagaan, kehilangan kepercayaan dan menjejaskan keperibadiannya akibat daripada kecuaian dan kegagalan defendan.

Oleh: NORLELA IBRAHIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum