Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Polis temui M16, pistol dan bom di Puchong

KUALA LUMPUR 29 Mei - Polis menemui sepucuk raifal automatik M16, sepucuk pistol .38, beberapa biji bom tangan dan lebih 10 butir peluru yang dipercayai milik satu kumpulan penjenayah di kawasan belukar di Puchong, dekat sini hari ini.

Kesemua senjata api dan bom berkenaan ditemui oleh pihak polis kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Sumber-sumber memberitahu, kesemua senjata api dan bom yang ditemui mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang pernah melakukan cubaan rompak di Southern Bank Berhad di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 18 Mei lalu.

Katanya, penemuan tersebut dipercayai hasil siasatan polis terhadap seorang lelaki berusia 20-an yang ditahan untuk membantu siasatan kes rompakan Southern Bank.

Dalam kejadian pada 18 Mei empat lelaki bersenjata cuba merompak Southern Bank, Jalan Gasing.

Bagaimanapun rompakan mereka digagalkan oleh seorang pengawal keselamatan yang menembak mati seorang daripada empat lelaki terbabit dan mencederakan dua lagi.

Seorang lagi penjenayah itu yang menunggu di luar bank berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun pada 23 Mei lalu penjenayah terbabit berjaya ditahan bersama sepucuk pistol yang digunakan semasa cubaan rompak bersama rakan-rakannya.

Lelaki itu, seorang kerani penghantar yang berusia 29 tahun diberkas di rumah ibunya di Felda Kampung Awah, Temerloh, Pahang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum