Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Perompak ulangi rompak bank sama selepas 2 bulan

KUALA LUMPUR 29 Mei - Bank Bumiputra Commerce, Taman Mutiara, Cheras di sini yang dirompak RM1.6 juta dua bulan lalu, hari ini dirompak lagi sebanyak RM1.1 juta, dipercayai oleh kumpulan perompak yang sama.

Dalam kejadian pada 3.10 petang ini, empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol mengambil masa lima minit untuk melakukan rompakan nekad tersebut.

Dalam rompakan pada 13 Mac lalu, empat perompak tersebut bersenjatakan selaras pump gun dan sepucuk pistol.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner, Hadi Ho Abdullah berkata, dalam rompakan petang ini, tiga daripada empat lelaki itu yang memakai topi keledar berpenutup merempuh masuk ke dalam bank dan melepaskan satu das tembakan ke arah siling.

Hadi Ho berkata, semasa kejadian terdapat 11 pekerja, enam pelanggan dan tiga pengawal keselamatan di dalam bank itu.

Tambahnya, ketika ketiga-tiga lelaki itu merempuh masuk salah seorang pengawal keselamatan sempat mencapai senapang patahnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, salah seorang daripada penjenayah terbabit merampas senapang tersebut sementara dua lagi rakannya melompat ke dalam kaunter yang ketika itu terdapat enam juruwang sedang bertugas.

``Kedua-dua lelaki terbabit mengacukan pistol ke kepala salah seorang juruwang dan memaksa mereka memasukkan semua wang tunai ke dalam dua buah beg sukan.

``Beberapa minit selepas kesemua wang bernilai kira-kira RM1.1 juta itu dimasukkan ke dalam beg tersebut ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri,'' kata beliau ketika ditemui ditempat kejadian.

Kata Hadi lagi, ketiga-tiga lelaki berkenaan dipercayai melarikan diri dengan dua buah motosikal bersama seorang lagi rakan mereka yang dipercayai menunggu di luar bank.

Menurut beliau, pihak polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima maklumat berhubung rompakan itu segera melakukan siasatan.

``Beberapa anggota yang melakukan siasatan menemui senapang patah milik pengawal keselamatan yang dirampas oleh penjenayah-penjenayah itu di belakang kawasan bank.

``Polis percaya senapang patah yang berpeluru itu dicampakkan di belakang bank semasa mereka melarikan diri,'' kata beliau.

Jelas Hadi lagi, tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut.

Kata beliau, pihaknya kini sedang melancarkan gerakan memburu keempat-empat lelaki terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar ibu negara.

Sehubungan itu, kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat empat lelaki berkenaan semasa melarikan diri diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Cawangan Jenayah Berat di talian 03-2460685.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum