Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 27 Jun 2001

Dadah: NGO diminta beri tumpuan serius

KUALA LUMPUR 26 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta penyertaan yang lebih menyeluruh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menasihatkan pertubuhan-pertubuhan tersebut supaya tidak hanya menumpukan isu-isu sensasi seperti hak asasi manusia dan kebebasan bersuara sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata, NGO perlu juga memberi tumpuan kepada masalah dadah dalam negara ini dan di peringkat global.

``Pada saya, mereka harus bersama menangani masalah dadah kerana ia memerlukan perhatian yang serius daripada semua pihak dan tidak menyerahkan kepada kerajaan semata-mata untuk menyelesaikannya,'' ujar beliau.

Abdullah berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis peringatan Hari Anti Dadah Antarabangsa peringkat kebangsaan 2001 di Angkasapuri, di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia memiliki banyak NGO dengan pertubuhan induk sahaja berjumlah hampir 30,000 dan cawangan-cawangannya pula hampir 58,000.

Abdullah juga mahu tokoh-tokoh agama mempelopori seruan untuk membawa rakyat kepada kesejahteraan dan keselamatan tanpa dadah.

Katanya, alim ulama, tokoh-tokoh agama dan para imam serta pendakwah-pendakwah yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat perlu prihatin terhadap masalah dadah yang menimpa sebilangan besar umat Islam di negara ini.

``Tindakan yang lebih proaktif adalah diharapkan. Saya mahu melihat program yang menjurus ke arah membasmi masalah dadah dilipatgandakan di semua kariah di seluruh negara.

``Gunakan masa, peluang dan tempat untuk memandu rakyat ke arah kebaikan dan pastikan semua kariah adalah bersih daripada masalah dadah,'' tegasnya.

Beliau turut meminta pihak majikan swasta, khususnya sektor perkilangan mengadakan program `Tempat Kerja Bebas Dari Dadah'.

``Jika pihak majikan komited membuat peraturan-peraturan yang sesuai tentang penyalahgunaan dadah dan mengadakan program-program antidadah di tempat kerja, saya yakin masalah penyalahgunaan dadah pekerja di sektor perkilangan dapat diatasi,'' tegasnya.

Kerajaan, ujar beliau, sedar orang yang tidak bekerja atau penganggur, kebanyakannya terdiri daripada golongan belia dan statistik penagih tahun lalu, menunjukkan 13.3 peratus adalah penganggur.

``Golongan ini juga perlu diberi perhatian oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Belia dan Sukan,'' ujarnya.

Abdullah berkata, oleh kerana golongan belia menganggur adalah berisiko tinggi terlibat dengan masalah dadah, mereka perlu dibantu dengan cara-cara seperti melatih mereka dalam bidang perniagaan, pertanian, sukan, agama dan sebagainya.

Dalam hubungan ini, katanya, ibu bapa adalah penjana yang sangat penting untuk mendidik anak-anak supaya membenci dadah.

``Ini adalah kerana sesiapa pun tanpa mengira keturunan dalam keadaan yang biasa akan menghormati dan mendengar cakap ibu bapa, lebih-lebih lagi pihak ibu,'' katanya.

Menurut beliau, pihak guru dan pentadbir sekolah sehinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi mesti menggandakan usaha mendidik para pelajar supaya membenci dan menjauhi dadah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan, Datuk Salleh Mat Som berkata, sebanyak 8,190 penagih dadah dikesan sehingga April lalu, manakala sepanjang tahun lalu, jumlah penagih dikesan ialah 30,593 orang.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum