JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 03 April 2001

Amin diperintah bela diri -- Bersama 18 anggota Al-Ma'unah atas tuduhan melancarkan peperangan

KUALA LUMPUR 2 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan ketua kumpulan Al-Ma'unah, Mohd. Amin Mohd. Razali dan 18 anggota kumpulan itu membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwa dapat membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Keterangan pembelaan akan mula didengar esok.

Terdahulu Hakim Zulkefli menyatakan semua tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk membuat pembelaan iaitu memberi keterangan secara angkat sumpah di kandang saksi dan boleh disoal balas dan kemudian disoal semula oleh peguam bela.

Tertuduh juga boleh memberi keterangan dari kandang tertuduh dan tidak boleh disoal balas oleh pihak pendakwa; atau pun secara berdiam diri.

Selepas sidang ditangguhkan hampir sejam, Mohd. Amin yang diwakili oleh Karpal Singh memberitahu bahawa dia faham dan memilih untuk berdiam diri.

Sementara itu, 18 tertuduh lagi memilih untuk memberi keterangan pembelaan secara angkat sumpah di kandang saksi.

Kesemua mereka merupakan di antara 29 anggota Al-Ma'unah yang dibicarakan mengikut pertuduhan asal di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Pada pertengahan perbicaraan kes tersebut, 10 daripada mereka telah mengaku bersalah atas tuduhan alternatif di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan dan kini masing-masing menjalani hukuman penjara 10 tahun.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Zulkefli menerangkan alasan-alasannya bahawa beliau berpendapat pihak pendakwa dapat membuktikan dua inti pati penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 121 itu iaitu:

* Tertuduh melancarkan peperangan.

* Bahawa peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Katanya, bagi intipati pertama dan maksud melancarkan peperangan, beliau berpendapat keterangan yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah:

* Tujuan sesuatu pakatan untuk berkumpul adalah untuk memberontak atau menentang pihak berkuasa iaitu kerajaan.

* Tujuan atau hasrat pemberontakan dan penentangan adalah bagi mencapai sesuatu tujuan atau hasrat tertentu.

``Pihak pendakwa membuktikan bahawa semua tertuduh terlibat secara langsung dalam melaksanakan tujuan atau objektif utama mereka melakukan penentangan yang bermatlamat penggulingan terhadap kerajaan yang sedia ada iaitu dengan cara kekerasan dan peperangan. Asas perjuangan tertuduh-tertuduh dalam kes ini berteraskan perjuangan yang dikatakan `jihad' untuk mewujudkan suatu negara menurut undang-undang Islam. Penentangan mereka ini diketuai oleh tertuduh pertama dengan bantuan dan pakatan tertuduh-tertuduh yang lain yang bergerak di bawah nama Persatuan Al-Ma'unah. Saya dapati keterangan berkaitan elemen-elemen melancar peperangan ini dibuktikan oleh pendakwa dalam:

* Peringkat persediaan atau akan melancarkan peperangan.

* Peringkat perbuatan, melancarkan peperangan.

Menurut beliau, bagi keterangan berkaitan dengan persediaan sebelum melancarkan peperangan, terdapat keterangan daripada saksi-saksi yang memberi keterangan atas perkara-perkara seperti yang dilakukan oleh tertuduh pertama dan tertuduh-tertuduh lain:

* Pembelian pakaian celoreng tentera untuk dipakai oleh tertuduh-tertuduh sebagai anggota Al-Ma'unah di sekitar Mei hingga Jun 2000.

* Perolehan tiga buah kenderaan Pajero pada Jun 2000 untuk digunakan oleh tertuduh-tertuduh bagi melakukan tindakan merampas senjata di Pos 2 Kuala Rhui dan Kem 304 Gerik, Perak.

* Mendapatkan sebuah rumah penempatan sementara dengan menyewa sebuah rumah di Kampung Kati, Kuala Kangsar pada penghujung bulan Jun 2000. Perbuatan mengecat tiga Pajero itu dilakukan.

* Pembelian dan pengumpulan parang berkembar sebanyak 87 bilah di antara Mei hingga Jun 2000.

* Sebahagian tertuduh telah ditemui di gerai makan di Jalan Kuala Rhui, Gerik pada awal pagi, 2 Julai 2000.

* Pengumpulan senjata dengan cara merampas dan alat perhubungan radio di Pos 2, Kuala Rhui pada awal pagi, 2 Julai 2000.

* Rampasan senjata di Kem 302 Gerik pada awal pagi 2 Julai 2000.

* Penemuan senjata-senjata dan peralatan tentera di Bukit Jenalek.

* Bukit Jenalek dijadikan pusat pangkalan tertuduh-tertuduh. Sebagai bukti melancarkan peperangan didapati tertuduh-tertuduh telah berkumpul di Bukit Jenalek dan kemudian telah melakukan penentangan terhadap kerajaan dengan cara keganasan dan kekerasan:

* Kumpulan tertuduh telah melakukan penderaan dan pembunuhan terhadap orang-orang tawanan. Anggota polis, Detektif Sarjan Mohd. Shah dan Sagadevan telah ditawan dan didera. Sagadevan telah ditembak mati semasa dalam tawanan.

Seorang awam, Jaafar Putih telah ditawan. Seorang anggota tentera, Trooper Mathew juga telah ditawan, diseksa dan ditembak mati di Bukit Jenalek.

Hakim Zulkefli membangkitkan persoalan apakah perlu senjata-senjata berkenaan berada dalam pegangan tertuduh-tertuduh dan apakah tujuan mereka menggunakannya.

Beliau berkata, terdapat pertempuran senjata di antara kumpulan tertuduh ini dengan pasukan tentera dan polis selama tiga hari dari 4 Julai hingga awal pagi 6 Julai 2000.

Menurutnya lagi, terdapat dua das tembakan dengan senjata M203 yang dihalakan oleh kumpulan tertuduh ke arah pasukan keselamatan di sebuah sekolah berdekatan Bukit Jenalek.

Katanya, didapati tembakan dari pihak kumpulan tertuduh diikuti dengan teriakan ``Allahuakbar'' yang menunjukkan suatu teriakan semangat untuk berperang.

``Kumpulan tertuduh telah dikepung oleh pasukan keselamatan dan semasa dikepung, kedengaran respon daripada tertuduh bahawa mereka tidak mahu menyerah diri.

``Dua daripada anggota kumpulan ini telah ditembak dan seorang daripadanya meninggal dunia. Tertuduh-tertuduh ada mengatakan kepada saksi, Asisten Supritendan Polis Abdul Razak Mohd. Yusuf bahawa jangan tembaknya kerana dia seorang mujahidin,'' jelas Hakim Makinudin.

Hakim Zulkefli juga menyatakan terdapat anggota Al-Ma'unah yang berada di Bukit Jenalek pada hari pertama 2 Julai telah meninggalkan kumpulan tersebut.

``Ini menunjukkan anggota Al-Ma'unah yang meninggalkan Bukit Jenalek tersebut sedar akan apa yang berlaku di situ,'' ujarnya.

``Mengenai pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh-tertuduh, saya mendapati ia adalah teratur dan tidak cacat.

``Pihak pendakwa telah memperihalkan butiran-butiran penting mengenai tempat kejadian dan tempoh tarikh berlakunya kejadian dalam pertuduhan,'' jelas beliau.

Namun jelas beliau, sungguhpun tiada keterangan yang dikemukakan yang meliputi insiden-insiden tembakan yang berlaku di Klang, Carlsberg di Shah Alam, Guinness Petaling Jaya dan di Kuil Batu Caves, Selangor, ia tidak menjejaskan kes pendakwaan.

Tambahnya, keterangan itu adalah relevan di bawah Seksyen 11 dan 8 Akta Keterangan.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi