Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

2 aktivis reformasi dibebas -- Mahkamah Tinggi mendapati tahanan ISA terhadap mereka tidak sah

Oleh:RADZUAN HASSAN
SHAH ALAM 30 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dua aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah mendapati tahanan terhadap mereka tidak sah di sisi undang-undang.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah melarang polis menahan semula mereka dalam tempoh 24 jam bermula pukul 4 petang hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus membuat perintah itu atas permohonan peguam bela bagi membolehkan mereka sekurang-kurangnya berjumpa dengan keluarga masing-masing.

Dua aktivis itu, Abdul Ghani Haroon, 39, dan N. Gobalakrishnan, 41, dibawa ke mahkamah untuk dibebaskan petang ini.

Hakim Mohd. Hishamudin dalam enam alasan penghakimannya juga mencadangkan Parlimen mengkaji semula undang-undang ISA bagi melihat kesesuaiannya dengan keadaan semasa.

Dalam hujahnya, Hakim Mohd. Hishamudin berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menimbangkan semula ISA yang dahulunya bertujuan untuk menangani pengaruh keganasan komunis di awal kemerdekaan negara.

Menurutnya, sekiranya perlu dikekalkan, ISA seharusnya dipinda semula bagi menghalang atau mengurangkan penyalahgunaannya seperti keenam-enam alasan yang diberikan oleh beliau di mahkamah hari ini.

Dalam alasan penghakiman setebal 28 muka surat, Hakim Mohd. Hishamudin berkata, atas enam sebab beliau membenarkan permohonan habeas corpus ke atas kedua-dua pemohon tersebut berdasarkan Artikel 5(2) Perlembagaan Persekutuan.

Gobalakrishnan dan Abdul Ghani yang juga pemimpin Parti Keadilan Nasional (Keadilan) telah memfailkan writ habeas corpus masing-masing melalui sokongan afidavit yang diikrarkan oleh keluarga mereka.

Habeas corpus ialah istilah Latin yang bermaksud permohonan bagi pelepasan serta-merta melalui mahkamah.

Dalam alasan pertama, Hakim Mohd. Hishamuddin menerangkan bahawa mahkamah mendapati penangkapan terhadap mereka tidak mematuhi Seksyen 73 (1) ISA kerana pihak responden yang menangkap mereka gagal memberikan beberapa maklumat sebab-sebab penahanan termasuk di dalam kandungan afidavit.

Alasan kedua, mahkamah juga mendapati responden tidak mematuhi Artikel 5(3) Perlembagaan yang sama kerana gagal menyediakan bukti kukuh penangkapan yang dibuat.

Selain itu katanya, ia juga tidak mematuhi perenggan (a) dan (b) subseksyen (3) dalam Seksyen 73 ISA menjadikan penangkapan itu tidak sah.

Alasan ketiga, menurut Hakim Mohd. Hishamudin, mahkamah mendapati keputusan menangkap kedua-dua mereka di bawah perenggan (c) akta yang sama adalah dibuat terlalu awal dan menyifatkan penangkapan itu mempunyai niat jahat (mala fide).

Bagi alasan keempat, mahkamah mendapati kedua-dua mereka dinafikan hak untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing sejak tarikh penahanan iaitu 10 dan 11 April lepas oleh responden iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, walaupun permohonan telah dibuat melalui peguam mereka.

Kata beliau, dari tarikh mereka ditangkap sehingga hari ini iaitu selama 40 hari, keluarga dan peguam mereka masih menunggu jawapan dari responden bagi berjumpa kedua-dua tahanan.

Hakim Mohd. Hishamudin berkata, pada pendapatnya penafian hak untuk berjumpa mereka dalam tempoh yang panjang adalah sesuatu yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan penindasan yang bukan sahaja melibatkan tahanan tetapi juga kepada keluarga masing-masing.

Tambah beliau, jawapan responden kepada peguam tahanan yang memaklumkan pihaknya tidak membenarkan keluarga mereka berjumpa kerana bimbang menjejaskan penyiasatan polis langsung tidak boleh diterima oleh mahkamah.

Bagi alasan kelima, Hakim Mohd. Hishamuddin berkata, undang-undang terutamanya melibatkan hak asasi, tidak boleh dikuatkuasakan secara membabi-buta dan ia perlu ditafsirkan dalam bentuk kemanusiaan sebaik mungkin.

Alasan keenam pula, menurutnya, penangkapan kedua-dua mereka adalah niat jahat (mala fide) kerana responden telah menafikan hak tahanan berjumpa peguam dan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak menghormati hak seseorang berdasarkan Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah, katanya, hanya boleh membuat penghakiman yang adil setelah mendengar keterangan dan afidavit daripada kedua-dua pihak dan bukan sahaja daripada responden tetapi daripada tahanan itu sendiri.

Abdul Ghani telah ditahan pada pukul 1.25 pagi, 11 April di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching manakala Gobalakrishnan ditahan di Balai Polis Kuah, Langkawi, 10 April lalu.

Mereka berdua diwakili lima peguam bela yang diketuai oleh R. Sivarasa.

Bagaimanapun hari ini peguam Malik Imtiaz Sarwar hadir menggantikan R. Sivarasa yang bercuti. Peguam-peguam mereka yang lain ialah P. Kandasamy, M. Muganambal, Saiful Izham dan Hamidzun Zakaria.

Responden pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohamad dan Abdul Rasid Sudin.

Turut hadir dalam mahkamah petang ini ialah kira-kira 200 penyokong pembangkang.

Sementara itu, pasukan polis termasuk beberapa trak Pasukan Simpanan Persekutuan turut berkawal di luar pintu masuk mahkamah bagi mengawal keadaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum