Make your own free website on Tripod.com

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 03 April 2001

Polis tumpas sindiket edar pil `WY'

PULAU PINANG 2 April - Satu sindiket pengedaran pil khayal jenis `WY' terbesar di negeri ini berjaya ditumpas dengan tertangkapnya empat orang pembekal termasuk seorang wanita di sekitar Seberang Perai dekat sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Narkotik Negeri, Supritendan Mohd. Yusop Untok berkata, dengan tangkapan itu, polis berjaya merampas sejumlah 10,230 biji pil jenis `WY' bernilai RM83,000.

Beliau berkata, kumpulan tersebut dipercayai bergerak aktif di kawasan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan sejak dua tahun lalu.

Katanya, keempat-empat pembekal itu diberkas dalam serbuan berasingan oleh sepasukan Polis Cawangan Narkotik yang diketuai oleh Pegawai Turus Operasi Narkotik Negeri, Asisten Supritendan Mohd. Anil Shah.

``Kita berjaya menumpaskan kegiatan mereka hasil maklumat orang ramai dan juga operasi berterusan sejak kegiatan pengedaran pil khayal berleluasa tahun lalu,'' katanya di sini hari ini.

Katanya, pada 28 Mac lalu kira-kira pukul 3 pagi, pasukan polis telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 35 tahun di Kampung Berapit, Bukit Mertajam.

``Polis berjaya menemui sebanyak 186 biji pil khayal jenis `WY' dan hasil siasatan polis membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Perai empat jam kemudian.

``Dalam serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu pula polis menahan teman wanitanya yang berusia lingkungan 20-an dan merampas 44 biji pil `WY' serta 6 karton ganja,'' tambah beliau.

Ekoran tangkapan tersebut, katanya, polis meneruskan intipan dan siasatan dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun kira-kira pukul 11 malam keesokan hari di Bukit Mertajam.

``Polis berjaya merampas 4,000 pil jenis `WY' dari lelaki itu yang dipercayai perancang utama yang diekori dari Alor Setar sehingga ke Bukit Mertajam,'' tambahnya.

Mohd. Yusop memberitahu, polis turut menyita harta benda berjumlah lebih kurang RM47,000 termasuk wang tunai kira-kira RM1,000 dan sebuah kereta Proton Wira.

Terdahulu, katanya, dalam serbuan yang dibuat di sebuah rumah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, polis menahan seorang lelaki dan merampas 6,000 biji pil jenis `WY' bernilai RM49,000.

Oleh: NORZAHIZAN ISMAIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi