JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 06 April 2001

13 kenderaan dirosak ekoran pertengkaran dua kumpulan remaja

GOMBAK 5 April - Pertengkaran dua kumpulan remaja berpunca daripada bunyi bising motosikal mengakibatkan 13 buah kenderaan orang awam yang diletakkan di Blok C, Rumah Pangsa Taman Prima Selayang di sini, dirosakkan awal pagi ini.

Kenderaan itu yang terdiri daripada enam buah kereta, empat buah van dan tiga lori kebanyakannya pecah cermin depan dipercayai dibaling dengan batu dan kayu.

Serentak dengan itu, Ketua Siasatan Jenayah Gombak, Deputi Supritendan Ishak Hussin berkata polis ingin menghubungi lima orang lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Mereka ialah P. Matahan, 18, nombor kad pengenalan 830225-14-6119, dan alamat terakhir 164 Ladang Pa Lam Batu 9 1/2 Rawang; L. Jeyaganesh, 18, (830617-14-6345), alamat terakhir 318, Blok C Taman Prima Selayang; Vikneswaran (790611-08-5971) alamat terakhir di 14, Pinggiran Indah off Jalan 2 Sungai Buluh; S. Prabakaran, 23, (800708-14-5789), alamat terakhir ST 500, Kampung Selayang Bahagia dan M. Joshua, 18, (830602-08- 6195) alamat terakhir 819, Blok C, Taman Prima Selayang.

Menurut Ishak, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi apabila sekumpulan remaja yang sedang minum di sebuah gerai dekat blok c rumah pangsa berkenaan tiba-tiba diganggu dengan bunyi bising motosikal oleh sekumpulan lagi remaja India.

Katanya pada ketika itu berlaku pertengkaran di antara kedua-dua kumpulan yang terdiri yang tinggal di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Ishak memberitahu, mereka terus melarikan diri sebaik sahaja polis tiba di tempat kejadian.

``Bagaimanapun, kira-kira pukul 3.30 pagi tadi, beberapa orang daripada mereka yang masih tidak puas hati, bertindak memecahkan cermin 13 buah kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kereta rumah pangsa tersebut,'' ujar Ishak.

Sehubungan itu, beliau menolak kejadian itu mempunyai motif perkauman.

Ketua Siasatan Jenayah Gombak itu tidak menafikan kawasan perumahan tersebut terdedah dengan pelbagai gejala dan masalah sosial.

``Polis menyifatkan kejadian malam tadi sebagai serius dan memerlukan kerjasama orang ramai untuk membantu pihaknya dalam menjalankan siasatan,'' kata Ishak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi