JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 06 April 2001

Lebih 142,102 Panadol tiruan dirampas, sidiket ditumpas

KOTA BHARU 5 April - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kelantan menumpaskan sindiket pengedaran ubat Panadol tiruan setelah merampas 142,102 biji ubat tersebut bernilai lebih RM20,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Chat, di sini hari ini.

Pengarahnya, Abdul Ghani Harun berkata, sepasukan anggota bersama wakil syarikat pengeluar sah yang membuat serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari hari ini menahan pemiliknya yang berusia 50-an untuk siasatan.

Katanya, bagaimanapun, pihak berkuasa gagal menemui peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses ubat Panadol kerana maklumat awal yang diterima mengatakan rumah tersebut turut dijadikan pusat memproses.

``Berdasarkan maklumat yang diterima, sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran ubat Panadol ke kedai-kedai di seluruh negeri sejak beberapa bulan lepas,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua hasil rampasan akan dihantar ke Jabatan Kimia dan syarikat pengeluar Smith Kline and Beecham yang beribu pejabat di Kuala Lumpur untuk dianalisis.

Abdul Ghani berkata, siasatan mendapati pemilik rumah berkenaan tidak mempunyai permit yang sah untuk membekalkan ubat Panadol di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membeli ubat Panadol yang ditawarkan pada harga rendah kerana dikhuatiri ia produk tiruan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendedahkan penipuan oleh penganjur ``Jualan Mega Cheap Sale'' di bandar ini kerana didakwa dilakukan tanpa mendapat kelulusan.

Ekoran itu, Timbalan Pengarahnya, Halijah Sandiman mengadakan operasi pada pukul 11 pagi ini dan merampas sejumlah 26,451 barang pelbagai jenis seperti pakaian, jam tangan, barangan perhiasan dan video cakera padat daripada penganjur jualan murah itu.

Tegasnya, siasatan juga mendapati pihak penganjur turut mencampurkan barangan asli dan tiruan dalam jualannya dipercayai untuk memperdayakan pembeli.

``Peniaga terbabit akan didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 bagi syarikat dan RM100,000 untuk peniaga atau tiga tahun penjara,'' katanya.

Oleh: NORLIZA ABD. RAHMAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi