Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 13 April 2001

Tertuduh nafi mahu lancar perang

KUALA LUMPUR 12 April - Seorang anggota kumpulan Al-Ma'unah, Jamaludin Darus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak bersetuju dengan dakwaan yang mengatakan kumpulan itu merancang dan melaksanakan peperangan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia secara haram.

Jamaludin berkata, dia juga tidak bersetuju dengan pendakwaan yang mengatakan apa yang sudah dilakukannya (mengambil senjata) di Pos 2, Kuala Rhui dan Kem Tentera 304 Gerik Perak adalah satu peperangan ke atas Kerajaan Malaysia.

Dia juga tidak bersetuju dengan pendakwaan yang mengatakan tiga anggota kumpulan itu keluar dari Bukit Jenalek, Perak pada 2 Julai tahun lalu untuk memusnahkan kuil di Batu Caves, kilang Carlsberg di Shah Alam dan kilang Guiness, Petaling Jaya, Selangor dengan senjata-senjata yang diperoleh dari Pos 2 dan Kem 304.

Jamaludin, 40, bekas pegawai tentera berpangkat mejar, memberitahu demikian dalam keterangan membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia menghadapi tuduhan itu bersama 18 anggota Al-Ma'unah termasuk ketuanya, Mohd. Razali Mohd. Amin.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan didenda.

Jamaludin menyambung keterangan pembelaannya di hadapan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin pada perbicaraan yang masuk hari ke-63 hari ini.

Ketika menjawab satu soalan balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Jamaludin berkata, dia bersetuju dengan pendakwa yang mengatakan bahawa terdapat buku-buku dan risalah di markas Al-Ma'unah, Klang, Selangor.

Pendakwa raya mengatakan antara buku-buku itu ialah buku Proses Revolusi Islam yang dikarang oleh S.A. Maududi, Khomeini Revolusi Iran dan Akidah Syiah oleh Mohd. Manzoor Mohd. Ali dan juga buku bertajuk, Talang Sari Warisan Mamali oleh Ahmad Lutfi Othman.

Mengenai judul buku-buku itu, Jamaludin bagaimanapun menjawab: ``Saya tidak tahu.''

Pada peringkat menjawab soalan dalam pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Zabidi Mohamad, Jamaludin memberitahu sepanjang berkhidmat dalam angkatan tentera, dia tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sehinggalah ditangkap pada 6 Julai tahun lalu di Bukit Jenalek.

Tertuduh itu juga menjelaskan bahawa semasa menghadiri kursus di Maktab Turus Tentera, dia ada memasukkan butir-butir di dalam borang tapisan yang menyebutkan bahawa dia sebagai jurulatih anggota Al-Ma'unah bagi kawasan utara.

Selain itu, katanya, dia mengakui telah mendera sesetengah anggota tentera di Pos 2, Kuala Rhui untuk melakukan `jalan itik dan lompat katak'.

Menjawab satu soalan lagi, Jamaludin mendakwa dia tidak nampak apa-apa barang yang dimasukkan ke dalam kenderaan Pajero yang dinaikinya semasa berada di Pos 2 tersebut.

Peguam bela juga bertanya, kenapa dia tidak berusaha untuk melihat apakah pangkat dan tanda nama pada pakaian celoreng tentera yang dipakainya ketika pergi ke Pos 2 dan Kem 304.

Jamaludin menjawab, pada waktu itu dia dalam keletihan.

Tertuduh mendakwa dia keletihan kerana telah bertolak dari Pulau Pinang ke Bukit Jenalek kira-kira pukul 12.30 malam, 30 Jun tahun lalu.

Katanya, selepas sampai di kaki Bukit Jenalek, dia dan anggota kumpulan itu naik ke Bukit Jenalek melalui tepi sebuah sekolah untuk menuju ke puncak bukit.

Menurut Jamaludin, dia membawa barang-barang sendiri dengan berjalan kaki.

Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abidin membantah dengan alasan keterangan itu tidak relevan.

Bagaimanapun, Zabidi mengatakan bahawa beliau menimbul perkara itu untuk menunjukkan keadaan minda tertuduh pada masa itu.

Jamaludin menerangkan lagi, semasa Mohd. Amin memberikan pakaian celoreng tentera, dia menganggap sebagai latihan dalam kursus kerohanian yang diadakan di Bukti Jenalek.

Perbicaraan bersambung pada Isnin ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi