Make your own free website on Tripod.com

Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 13 April 2001

Anggota PGK cedera ketika latihan terjun

TAIPING 12 April - Seorang anggota polis dalam Pasukan Gerak Khas (PGK), Safaruddin Mohd. Ariffin, 36, cedera apabila payung terjunnya berbelit di udara ketika dia membuat latihan penerjunan di kawasan Lapangan Terbang lama Tekah dekat sini, pagi ini.

Menurut sumber polis, kejadian itu berlaku pada pukul 10.35 pagi ketika Safaruddin membuat terjunan pada paras 4,500 kaki.

Pada mulanya, kata sumber itu, keadaan berjalan dengan baik dan payung terjunnya terbuka dengan sempurna.

``Tetapi, keadaan menjadi sebaliknya bila payung terjun Safaruddin dipercayai berbelit pada paras 600 kaki di udara dan ini menyebabkan beliau jatuh ke tanah dengan laju.

``Apabila anggota PGK itu mendarat, dia jatuh pengsan walaupun pendaratan yang dilakukannya sempurna,'' kata sumber itu lagi.

Pendaratan yang terlalu laju itu menyebabkan pinggang Safaruddin mengalami kecederaan dan beliau seterusnya dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Ipoh.

Selain kecederaan di pinggang, anggota PGK itu juga cedera di leher dan kepala. Keadaannya dilaporkan stabil.

Safaruddin yang berasal dari Teluk Intan telah berkhidmat dengan PGK Hulu Kinta sejak tahun 1989, telah berkahwin dan mempunyai tiga orang cahaya mata.

Pada masa kejadian, beliau sedang membuat penerjunan kategori kedua yang dikenali sebagai terjunan bebas.

Beliau yang sebelum ini telah lulus kategori pertama latihan payung terjun yang dikenali sebagai terjun asas telah berjaya membuat penerjunan sebanyak 18 kali.

Oleh: AZIMI MUSTAPHA

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi