Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 April 2001

Pengusaha kantin dibunuh -- Mayat mangsa culik kumpulan menyamar polis ditemui bergari

KUALA LUMPUR 9 April - Seorang pengusaha kantin yang diculik oleh empat lelaki menyamar polis petang Sabtu lalu ditemui mati dalam keadaan tangannya bergari di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.

Isteri mangsa, Nazilah Supri, 38, yang turut diculik, tetapi dibebaskan kemudiannya, mengesahkan mayat itu adalah suaminya, Saidi Ba'e, 40, selepas membuat pengecaman di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang malam ini.

Mayat Saidi ditemui pada malam hari kejadian tetapi polis gagal mengesan keluarganya sehinggalah Utusan menyiarkan gambar mangsa hari ini.

Turut ditemui bersama mayat itu ialah telefon bimbit dan pakaian yang sama dipakai ketika dia dilarikan. Mayat Saidi ditemui bergari kedua-dua tangannya di depan.

Serentak itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mangsor Ismail memberitahu Utusan malam ini, pihaknya melancarkan gerakan besar-besaran memburu empat penjenayah terbabit.

``Kami percaya keempat-empat lelaki itu menyamar sebagai anggota polis,'' katanya.

Saidi dipercayai diculik oleh empat lelaki tersebut berhampiran Tol Grand Saga dekat Cheras Perdana di sini petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku apabila Nazilah bersama-sama suaminya, Saidi dan bapa saudara mereka, Naim Pie, 40, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Lembah Jaya, Ampang dari Kajang.

Ketika tiba di plaza tol itu, sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki empat lelaki berpakaian reman tiba-tiba menghalang kereta yang mereka naiki.

Nazilah dan keluarganya yang merupakan penduduk tetap di negara ini dalam laporannya kepada Utusan semalam berkata, salah seorang lelaki itu juga menunjukkan kad kuasa polis dan pistol yang terselit di pinggangnya.

Katanya, dia dan suaminya dibawa menaiki kereta kumpulan itu mengelilingi pusat bandar selama hampir dua jam sebelum dia diturunkan di Ampang manakala suaminya yang memegang wang tunai RM5,000 hasil perniagaan dilarikan oleh lelaki berkenaan.

``Semasa dalam perjalanan saya dan suami telah dimaki hamun oleh salah seorang lelaki terbabit yang turut menggertak hendak membawa kami berdua ke balai polis.''

Bedah siasat ke atas mayat lelaki itu akan dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pagi esok.

Nazilah berkata, keluarganya dimaklumkan tentang penemuan mayat yang dipercayai Saidi itu kira-kira pukul 3 petang ini oleh seorang pegawai polis.

Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa mendapati suasana hiba menyelubungi keluarga terdekat Saidi.

Nazilah tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya tetapi kelihatan tenang di sisi dua anak perempuannya berusia 14 dan 16 tahun.

Katanya, peristiwa berhubung kematian suaminya telahpun dimaklumkan kepada sanak saudara mereka di Indonesia.

Dalam pada itu, Nazilah memberitahu pihak polis ada mengambil keterangan beliau dan bapa saudaranya pagi ini di rumah mereka.

``Polis datang ke rumah bagi mendapatkan keterangan bagi mendapatkan maklumat berhubung penculikan itu,'' katanya.

Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa penemuan mayat itu telah menjadi kes polis dan masih menunggu hasil bedah-siasat.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Rusni Hashim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menjumpai mayat seorang lelaki tetapi enggan mengulas lanjut kerana ekoran siasatan lanjut sedang dijalankan.

Oleh: SYAHRIL A. KADIR dan SHARILFUDDIN SAARI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi