Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 April 2001

Kesesakan, kurang kemudahan asas punca kegiatan jenayah

KUALA LUMPUR 9 April - Kemudahan asas yang tidak mencukupi serta persekitaran kediaman yang sempit dikenal pasti antara beberapa punca utama berlakunya kegiatan jenayah di kawasan penempatan setinggan.

Selain itu, tiada kemudahan tempat permainan serta jumlah ahli keluarga yang besar turut menjadikan golongan remaja terutamanya yang tinggal di setinggan merasa bosan dan terpengaruh dengan gejala tidak sihat.

Ketua Masyarakat Taman Desaria, Hamsar Samri, kawasan perumahan yang terbabit dalam insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Jalan Klang Lama bulan lalu, berkata, kesemua faktor tadi menyebabkan golongan remaja di kawasan itu akan mesra lebih selesa berada di luar rumah.

``Akibat terpengaruh dengan rakan-rakan, mereka mudah terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

``Antara kegiatan tidak sihat itu termasuk lumba haram, bohsia, gengsterisme sehingga boleh mencetuskan pergaduhan,'' katanya ketika dikunjungi Utusan di sini, baru-baru ini.

Selain itu, kata beliau, kelewatan kerajaan dalam menggesa pemaju untuk meneruskan projek perumahan yang tergendala, melambatkan proses penyelarasan kemudahan yang perlu disalurkan kepada penduduk di kawasan tersebut.

``Kemudahan awam seperti dewan, padang permainan dan lain-lain kemudahan perlu diselaraskan. Ada aktiviti integrasi kaum yang terbantut ekoran tiada kemudahan ini,'' ujar beliau.

Sebagai contoh tambah beliau, usaha menyatukan penduduk setinggan dalam majlis ceramah atau sukan tidak dapat dijalankan dengan sempurna jika keadaan dewan yang terlalu kecil atau tiada kemudahan padang permainan.

Tegas Hamsar, masalah itu pernah diutarakannya kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mokhtar Dahlan ketika beliau melawat Taman Desaria baru-baru ini.

Bagi Ketua UMNO Cawangan Taman Lindungan Jaya, Jalan Klang Lama, Ramli Yunus pula berkata, tidak dinafikan kesesakan hidup di setinggan menjadi punca penghuninya terutama golongan remaja tidak mempunyai sebarang aktiviti untuk dilakukan.

``Atas sebab itu, mereka mula terdorong untuk melakukan apa saja tindakan yang disukai, termasuklah kegiatan yang tidak sihat,'' katanya.

Beliau menambah, antaranya termasuklah kegiatan lumba haram, mengganggu orang ramai yang lalu lalang di kawsan umum dan sebagainya.

Ramli berkata, kediamannya di Taman Lindungan Jaya terletak bersebelahan dengan sebuah kawasan setinggan dan sedikit sebanyak pertembungan budaya tempat tinggal mempengaruhi kedua-dua penduduk.

``Sebagai contoh, jika anak muda satu pihak mencabar golongan remaja satu pihak lagi, sudah tentu masing-masing akan menunjukkan kehebatan mereka, dan ini mungkin mendorong kepada unsur-unsur pergaduhan,'' ujar beliau.

Ramli menambah, bagaimanapun peristiwa yang berlaku di Jalan Klang Lama sedikit sebanyak telah menyedarkan masyarakat kawasannya bahawa penting wujudnya sikap bersatu padu serta tolak ansur antara satu sama lain.

Untuk itu, beliau dan ahli Umno cawangan dalam proses perancangan mewujudkan beberapa aktiviti yang berunsur membina perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum, seperti rondaan Rukun Tetangga (RT) serta kegiatan-kegiatan perpaduan lain seperti jamuan masyarakat dan gotong-royong.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi